Kuasa kehakiman boleh selesai krisis diraja Negeri Sembilan

Kuasa kehakiman boleh selesai krisis diraja Negeri Sembilan

Mahkamah Persekutuan mempunyai hak sedia ada untuk bertindak atas inisiatif sendiri apabila perlembagaan atau strukturnya terjejas akibat penggunaan kuasa secara sewenang-wenangnya.

dun negeri sembilan

Perkembangan mutakhir di Negeri Sembilan amat membimbangkan, khususnya apabila timbul laporan mengenai kemungkinan krisis perlembagaan berkaitan usaha untuk menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar negeri itu.

Pakar undang-undang dan ahli politik telah memberi pandangan masing-masing tentang isu ini, termasuk fakta-fakta pelik dan dakwaan pelanggaran prinsip keadilan asasi.

Namun, di sebalik perbincangan awam, persoalan utama masih kekal: adakah penggunaan kuasa secara sewenang-wenangnya boleh diterima dalam sistem perlembagaan kita?

Keputusan sewenang-wenangnya ialah keputusan yang dibuat tanpa alasan kukuh, justifikasi atau pematuhan kepada prinsip undang-undang, keadilan dan prosedur yang ditetapkan.

Dalam konteks undang-undang perlembagaan dan pentadbiran, ia merujuk kepada penggunaan kuasa yang:

  • Tidak berasaskan rasional (tiada sokongan fakta atau logik)
  • Bercanggah undang-undang atau keadilan asasi
  • Tidak konsisten dan bergantung kepada kehendak peribadi
  • Tidak telus dan bercanggah dengan prinsip kedaulatan undang-undang

Jawapannya jelas: tidak boleh diterima sama sekali.

Tindakan sewenang-wenangnya bertentangan dengan semangat pemerintahan berperlembagaan. Ia bukan sekadar kesilapan pentadbiran, tetapi satu bentuk pelanggaran undang-undang, ketidakrasionalan, salah laku perlembagaan dan penyalahgunaan kuasa.

Sumpah jawatan yang diambil oleh pemegang jawatan perlembagaan, sama ada di peringkat negeri atau persekutuan, mewajibkan mereka bertindak menurut undang-undang, akal dan keadilan. Bertindak secara sewenang-wenangnya bermakna mengkhianati sumpah tersebut.

Sumpah jawatan dan kuasa kehakiman

Pengasas negara memahami bahawa semua pihak yang memegang kuasa perlembagaan mesti tertakluk kepada semakan. Oleh itu, mahkamah diberikan kuasa kehakiman untuk menjadi pelindung utama Perlembagaan Persekutuan.

Hakim bukan sekadar pemerhati pasif. Mereka bertanggungjawab memastikan semua tindakan pihak berkuasa tidak melanggar perlembagaan atau dibuat secara sewenang-wenangnya.

Namun, masih ramai dalam bidang perundangan yang gagal memahami konsep ini sepenuhnya kerana terlalu terikat dengan idea kedaulatan Parlimen.

Kedaulatan perlembagaan bukan sekadar slogan tetapi prinsip hidup yang memberi kuasa kepada mahkamah untuk mempertahankan perlembagaan daripada penyalahgunaan kuasa.

Kuasa bertindak sendiri (suo motu)

Ramai beranggapan mahkamah hanya boleh bertindak apabila ada permohonan rasmi melalui perintah seperti certiorari, mandamus, habeas corpus dan sebagainya. Pandangan ini terlalu sempit.

Mahkamah sebenarnya mempunyai kuasa untuk bertindak atas inisiatif sendiri (suo motu) apabila perlembagaan terjejas akibat tindakan sewenang-wenangnya.

Ini bukan aktivisme kehakiman, tetapi satu keperluan untuk memastikan sistem perlembagaan tidak dicabuli.

Apabila maruah perlembagaan terancam, mahkamah tidak boleh menunggu pihak tertentu memfailkan kes. Mahkamah Persekutuan khususnya perlu berani mengeluarkan arahan sendiri bagi mengelakkan krisis.

Pengalaman India menunjukkan pendekatan ini berkesan, di mana Mahkamah Agungnya sering bertindak secara proaktif untuk melindungi perlembagaan.

Malaysia juga perlu mengambil pendekatan sama. Dalam situasi krisis perlembagaan atau diraja, mahkamah tidak boleh berdiam diri, sebaliknya perlu bertindak tegas, termasuk mengarahkan pihak berkuasa seperti peguam negara untuk bertanggungjawab.

Kuasa sewenang-wenangnya adalah tidak berperlembagaan

Pada asasnya, sebarang penggunaan kuasa secara sewenang-wenangnya bercanggah dengan perlembagaan kerana ia melanggar prinsip pemerintahan berasaskan alasan dan rasional.

Perlembagaan bukan sekadar dokumen politik, tetapi asas undang-undang yang menuntut ketelusan, akauntabiliti dan pematuhan kepada kedaulatan undang-undang.

Apabila pemegang jawatan bertindak sesuka hati—dalam pelantikan, pemecatan atau keputusan lain—ia menjejaskan keabsahan sistem perlembagaan.

Kuasa budi bicara bukan kebal. Ia mesti digunakan secara sah dan rasional. Jika tidak, ia diaggap penyalahgunaan kuasa.

Mahkamah perlu campur tangan sebelum keadaan menjadi krisis besar.

Tanggungjawab kehakiman

Apa yang berlaku di Negeri Sembilan menunjukkan krisis perlembagaan bukan sekadar teori, tetapi realiti memberi kesan besar kepada pentadbiran negara.

Penggunaan kuasa secara sewenang-wenangnya tidak boleh diterima—sama ada oleh institusi diraja, ahli politik atau mana-mana pemegang jawatan.

Sebagai penjaga perlembagaan, badan kehakiman mesti memainkan peranannya.

Mahkamah Persekutuan perlu sedar tanggungjawabnya bukan sekadar menyelesaikan yang dibawa kepadanya, tetapi juga bertindak sendiri apabila maruah perlembagaan terancam.

Inilah tuntutan sebenar sumpah jawatan mereka.

Akhirnya, hanya melalui penggunaan kuasa kehakiman perlembagaan secara tepat, krisis perlembagaan atau diraja dapat diselesaikan.

Dengan cara ini, keputusan sewenang-wenangnya dapat dibendung, perlindungan perlembagaan terpelihara, dan maruah sistem perlembagaan terus dihormati.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.