7 banduan tahanan gagal semak semula hukuman

7 banduan tahanan gagal semak semula hukuman

Mahkamah Persekutuan berkata kes mereka tidak memenuhi syarat sebagai kes yang 'istimewa dan luar biasa'.

istana kehakiman Federal Court
Mahkamah Persekutuan menolak permohonan tujuh banduan di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 untuk menyemak semula hukuman mereka bagi kesalahan yang dilakukan sebelum mereka berusia 18 tahun.
PUTRAJAYA:
Tujuh banduan gagal dalam permohonan mereka untuk mendapatkan semakan hukuman selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan kes mereka tidak memenuhi syarat sebagai kes yang ‘istimewa dan luar biasa’.

Hakim Mahkamah Persekutuan Collin Lawrence Sequerah, yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata pemohon masih boleh memohon pengurangan hukuman menerusi proses pengampunan.

Turut menganggotai panel itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Azizah Nawawi, serta Hakim Rhodzariah Bujang dan Ruzima Ghazali.

Banduan terbabit berhujah penahanan berterusan mereka di bawah Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 melanggar hak mereka untuk hidup dan mendapat layanan sama rata di sisi undang-undang di bawah Perkara 5(1) dan 8 Perlembagaan Persekutuan, susulan pemansuhan hukuman mati mandatori dan penjara seumur hidup secara semula jadi.

Sequerah berkata penahanan mereka di bawah akta itu tidak melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

“Akta ini telah melalui proses perundangan yang sewajarnya dan diluluskan oleh Parlimen yang berwibawa,” katanya.

Beliau turut berkata Perkara 8 juga tidak dilanggar kerana akta berkenaan terpakai kepada satu golongan khas, iaitu kanak-kanak berumur bawah 18 tahun.

“Perlindungan dan layanan sama rata tidak bermaksud ia mesti terpakai secara menyeluruh kepada semua. Kita juga perlu memahami tujuan sesuatu undang-undang itu berdasarkan Hansard Parlimen,” katanya sambil menambah undang-undang itu bukan bersifat sewenang-wenangnya.

Hakim itu berkata, sebelum ini banduan dewasa tertakluk kepada hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan membunuh, mengedar dadah dan menculik.

Bagaimanapun, hukuman itu tidak dikenakan terhadap pesalah kanak-kanak, sebaliknya mereka ditahan atas perkenan pemerintah. Oleh itu, para pemohon yang kini sudah dewasa masih boleh memohon pengampunan, kata Sequerah.

“Mereka boleh memohon pengampunan daripada ketua negeri seperti diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan.”

Beliau berkata mekanisme semakan telah diperuntukkan dalam Peraturan 53 dan 113 Peraturan-Peraturan Penjara 2000 serta Seksyen 97(4) Akta Kanak-Kanak.

Sequerah turut menegaskan Mahkamah Persekutuan tidak boleh bertindak melangkaui bidang kuasanya kerana struktur Perlembagaan berasaskan pengasingan kuasa antara tiga cabang kerajaan, iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Salah seorang pemohon, Nguyen Doan Nhan, 26, berketurunan Vietnam, telah dipenjarakan di Penjara Kluang hampir sedekad sejak ditahan pada Februari 2015 ketika berusia 17 tahun.

Nguyen disabitkan kesalahan membunuh oleh Mahkamah Tinggi pada 2017.

Memandangkan usianya ketika kesalahan itu dilakukan, dia dijatuhi hukuman tahanan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, bukannya hukuman mati mandatori.

Rayuannya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan ditolak, menyebabkan dia kekal dipenjarakan tanpa tempoh pembebasan yang jelas.

Baki pemohon lain ialah N Harichandran, R Nomalan dan Hafizul Hafiq Masri (bunuh), Wong Soon Heng dan Leong Soon Long (bunuh dan culik), serta Aiman Al-Rashid Yaacob (edar dadah), yang kini berumur antara 30 hingga 35 tahun.

Dalam permohonan mereka yang difailkan di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, banduan berhujah penahanan tanpa tempoh yang pasti itu kini menjadi tidak berperlembagaan susulan perubahan besar undang-undang menerusi Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Peguam Abdul Rashid Ismail, Khaizan Sharizad Ab Razak dan Jacqueline Albert mewakili pemohon.

Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, Afazainizam Abdul Aziz, Noor Farhana Adham dan Arif Aizuddin Masron mewakili pendakwa raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.