
Sabitan terhadap mereka yang sebelum ini mengekalkan hukuman mati, telah diperakukan oleh mahkamah tertinggi itu sekurang-kurangnya 10 tahun lalu.
Mereka kemudian memohon pengampunan dan hukuman diringankan kepada hukuman penjara. Namun, lembaga pengampunan menetapkan tempoh pemenjaraan bermula dari tarikh pengampunan diberikan, bukannya dari tarikh tangkapan.
Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, banduan berkenaan memfailkan permohonan antara Disember 2024 hingga Januari 2025 di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 untuk mendapatkan perintah supaya hukuman mereka dikira secara kebelakangan.
Salah seorang pemohon, Sulaiman Saidin, 52, telah diringankan hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah kepada penjara 20 tahun, berkuat kuasa mulai 5 Mei 2015, oleh lembaga pengampunan Perak.
Dalam afidavitnya, Sulaiman berhujah bahawa tempoh penjaranya sepatutnya bermula dari 20 Julai 1996, iaitu tarikh dia ditahan.
Katanya, keputusan lembaga pengampunan itu menyebabkan dia terpaksa menjalani hampir 40 tahun penjara, sedangkan pesalah lain dalam kes serupa yang tidak memohon pengampunan mendapat pengiraan hukuman bermula dari tarikh tangkapan masing-masing.
Sulaiman turut menyatakan mereka yang disabitkan kesalahan mengedar dadah lazimnya dijatuhi hukuman penjara 30 tahun, tetapi kebanyakannya hanya menjalani 20 tahun selepas mendapat pengurangan satu pertiga atas kelakuan baik.
Beliau berhujah berdasarkan prinsip yang sama, dia sepatutnya sudah dibebaskan lebih awal.
Permohonan itu dijadualkan didengar hari ini di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Nordin Hassan, bersama Ahmad Terrirudin Salleh dan Ruzima Ghazali.
Bagaimanapun, prosiding ditangguhkan bagi membolehkan peguam mendapatkan arahan lanjut susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang dibuat lima bulan lalu.
Pada 12 Nov 2025, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan bahawa mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusan beberapa lembaga pengampunan yang membenarkan tiga banduan menjalani hukuman bermula dari tarikh mereka ditahan.
Ruzima, yang menyampaikan keputusan itu, berkata tindakan panel Mahkamah Persekutuan terdahulu yang menyemak hukuman berkenaan sebenarnya mencampuri proses pengampunan.
“Ini bermakna keputusan lembaga pengampunan telah dicabar, sedangkan badan itu mempunyai bidang kuasa yang berasingan daripada mahkamah,” katanya ketika membenarkan permohonan semakan pihak pendakwaan di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, sekali gus mengetepikan keputusan majoriti 2-1 sebelum ini.
Ruzima berkata ada beberapa keputusan kehakiman yang konsisten menyatakan keputusan lembaga pengampunan tidak boleh diadili oleh mahkamah dan oleh itu tidak boleh dipertimbangkan oleh badan kehakiman.
Pada 27 Ogos 2024, Mahkamah Persekutuan memutuskan hukuman penjara 30 tahun yang menggantikan hukuman mati terhadap tiga banduan bagi kesalahan mengedar dadah – G Jiva, 56, warga tempatan; Phrueksa Thaemchim, 42, warga Thailand; dan Mailesi Phiri, 48, warga Zambia – hendaklah berkuat kuasa dari tarikh mereka ditahan.
Dalam keputusan itu, panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Harmindar Singh Dhaliwal, yang kini telah bersara, membatalkan perintah lembaga pengampunan Kedah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang menetapkan hukuman penjara ketiga-tiga mereka bermula dari tarikh hukuman mati masing-masing diringankan.
Peguam Abdul Rashid Ismail, Khaizan Sharizad Ab Razak, dan Jacqueline Albert mewakili pemohon, manakala timbalan pendakwa raya Yusaini Amer Abdul Karim, Ng Siew Wee, Solehah Noratikah Ismail, dan P Sarulatha hadir bagi pihak pendakwaan.
pemohon yang sedang menjalani hukuman di tujuh penjara di seluruh negara, turut hadir bersama ahli keluarga masing-masing.
Pengurusan kes ditetapkan 16 April bagi menentukan tarikh pendengaran sesuai.