
Penangguhan itu diberikan selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk meneliti rakaman prosiding pada 5 dan 10 Februari lalu.
Isa mendakwa berlaku pelanggaran prinsip keadilan asasi apabila peguamnya tidak diberi peluang mengemukakan hujahan bagi pihaknya sebelum keputusan Mahkamah Persekutuan dibuat.
“Kami membenarkan permohonan ini demi kepentingan keadilan,” kata Hakim Besar Malaya Hashim Hamzah ketika membenarkan penangguhan itu.
Turut bersidang dalam panel yang mendengar permohonan semakan Isa ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Azizah Nawawi serta Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Pengurusan kes ditetapkan esok bagi menetapkan tarikh baharu pendengaran permohonan itu.
Pada 2021, Isa disabitkan Mahkamah Tinggi atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta. Dia dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.5 juta.
Dua tahun lalu, panel Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membenarkan rayuan Isa dengan mengetepikan sabitan dan hukuman itu.
Bagaimanapun, pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengembalikan semula sabitan dan hukuman tersebut serta memerintahkan Isa menjalani hukuman penjara serta-merta.
Pada 4 Mac, Isa memfailkan permohonan semakan mengikut Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 dengan mendakwa peguamnya, M Athimulan, tidak diberikan hak untuk menjawab hujahan.
Dalam afidavit membantah permohonan itu, pihak pendakwaan berkata panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan tersebut telah bertanya kepada Athimulan semasa prosiding pada 5 Februari sama ada beliau mahu mengemukakan hujahan lisan mengenai pembelaan dan mitigasi Isa.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, peguam itu menjawab tidak.
Athimulan memberitahu mahkamah hari ini bahawa beliau perlu meneliti rakaman prosiding untuk menjawab dakwaan pihak pendakwaan.
Peguam Zulkefli Ahmad Makinudin, Hisyam Teh Poh Teik, Wan Azmir Wan Majid, Abu Bakar Isa Rahmat dan Baharudden Ariff mewakili Isa dalam prosiding hari ini.
Afzainizam dibantu Timbalan Pendakwa Raya Arif Aizuddin Masrom.