
Panel tiga hakim mahkamah atasan berkenaan dipengerusikan Hakim Rhodzariah Bujang memutuskan pada Isnin , bahawa Petronas Carigali gagal memenuhi ambang ditetapkan mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk rayuan tersebut didengar berdasarkan merit.
Kebenaran hanya diberikan sekiranya mahkamah berpuas hati bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan untuk penentuannya membangkitkan isu baharu yang mempunyai kepentingan awam yang belum pernah diputuskan sebelum ini.
Panel hakim yang turut dibarisi Hakim Nazlan Ghazali dan Azimah Omar, juga memerintahkan Petronas Carigali membayar kos RM50,000 kepada Kingtime International Ltd.
September lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memberikan penghakiman memihak Kingtime, selepas memutuskan Petronas Carigali melanggar paten milik syarikat berkenaan.
Mahkamah Rayuan juga membatalkan tuntutan balas Petronas Carigali yang memohon membatalkan kedua-dua paten tersebut.
Dalam keputusannya, Mahkamah Rayuan memutuskan Petronas Carigali terikat dengan keputusan mahkamah terdahulu yang mendapati Petrofac E&C Sdn Bhd – kontraktor lama Petronas dan pengilang Mopu itu – melanggar paten Kingtime.
Ketika menyampaikan keputusan itu, Hakim Faizah Jamaludin berkata Mahkamah Rayuan mendapati terdapat hubungan (nexus) yang mencukupi antara Petronas Carigali dan Petrofac.
Hal berkenaan berdasarkan pengaturan kontrak bagi reka bentuk, kejuruteraan, dan pembinaan Mopu tersebut – sebuah pelantar minyak luar pesisir yang diubah suai untuk kegunaan pengeluaran minyak dan gas di lapangan minyak Sepat, kira-kira 200km dari perairan Kuala Terengganu.
Faizah berkata, Petronas Carigali tidak dibenar untuk mendedahkan semula isu berkaitan paten Kingtime, termasuk sama ada Mopu Sepat telah melanggarnya atau tidak.
Kes tersebut telah dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk penaksiran ganti rugi, di mana Petronas Carigali juga diarah memulangkan kos RM800,000 yang telah dibayar oleh Kingtime sebelum ini, susulan perintah mahkamah yang telah dibatalkan itu.
Kingtime memfailkan samannya di Mahkamah Tinggi, pada 2018.
Mahkamah Tinggi menolak saman berkenaan, namun membenarkan tuntutan balas Petronas Carigali untuk membatalkan dua paten milik Kingtime.
Keputusan itu kemudiannya dibatalkan Mahkamah Rayuan.