Rayuan anggota Rela tembak rakan baik ditolak, penjara 30 tahun kekal

Rayuan anggota Rela tembak rakan baik ditolak, penjara 30 tahun kekal

Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Ong Chow Lee ketepi sabitan bunuh bekas ketua Bahagian MCA Marang, di sebuah tokong di Terengganu lima tahun lalu.

ong chow lee
Ong Chow Lee ketika didakwa di Mahkamah Tingi Kuala Terengganu tahun lalu atas tuduhan membunuh Fong Swee Fuan di sebuah tokong Cina di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang pada 2021. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 30 tahun terhadap anggota Rela kerana menembak mati rakan baiknya, yang juga bekas ketua Bahagian MCA Marang, di sebuah tokong di Terengganu lima tahun lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak rayuan Ong Chow Lee, 62, bagi mengetepikan sabitan kes bunuh yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 2 Julai 2025.

“Mahkamah mendapati rayuan perayu tidak mempunyai merit… oleh itu, rayuan ditolak,” katanya yang bersidang bersama-sama Hakim Lee Swee Seng dan Ravinthran Paramaguru.

Pada 9 Julai 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun selepas Ong mengaku membunuh Fong Swee Fuan, 65, di sebuah tokong Cina di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang antara 1.20 hingga 1.55 tengah hari pada 23 Julai 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ong turut dijatuhi hukuman penjara 13 tahun selepas mengaku cuba membunuh anak saudara mangsa iaitu Teo Hock Beng, 48, yang cedera ditembak di lengan kirinya pada 1.55 tengah hari 23 Julai 2021.

Bagi kesalahan itu Ong didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan dia diperintahkan menjalani hukuman penjara secara serentak dari tarikh tangkap pada 23 Julai 2021.

Bagaimanapun, Ong tidak mengemukakan rayuan terhadap kesalahan cuba membunuh Teoh.

Pada 2 Julai tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Ong bagi sabitan serta hukuman, dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Terdahulu, Ong meminta kesnya dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan semula atas alasan telah dipengaruhi bekas peguamnya untuk mengaku bersalah dan mempercayai dia hanya akan dihukum penjara 15 tahun.

Peguam Ahmad Ridzuan Awang berhujah terdapat kekhilafan dari segi fakta dan undang-undang apabila Hakim Mahkamah Tinggi menerima pengakuan bersalah Ong tanpa menjelaskan sifat serta akibat pengakuan tertuduh.

Beliau berkata nota prosiding merekodkan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi secara teliti menawarkan jurubahasa Cina kepada tertuduh namun Ong memilih untuk mendengar dua pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi cubaan membunuh dalam Bahasa Melayu.

“Penggunaan Bahasa Melayu dalam membacakan pertuduhan tidak membolehkan mahkamah membuat anggapan bahawa tertuduh telah memahami pertuduhan ke atasnya, dan memahami sifat serta akibat daripada pengakuan salah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang pula berhujah pengakuan bersalah oleh Ong jelas teratur dan mengikut prosedur undang-undang selain perayu mengakui memahami sifat dan akibat pengakuan itu.

“Adalah tidak munasabah dan tiada apa-apa sebab untuk mahkamah atau peguam menidakkan hak perayu untuk mendapatkan khidmat jurubahasa pada hari prosiding kerana nota prosiding jelas menunjukkan bahawa jurubahasa Cina ada disediakan dan hadir pada hari berkenaan.

“Mahkamah mendapati jelas perayu telah ditanya beberapa kali dan dia mengesahkan sendiri faham Bahasa Melayu dan tidak memerlukan jurubahasa Cina serta diwakili peguam ketika prosiding,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.