
Ia susulan keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan terakhir Akahimo, 48, yang turut dikenali sebagai Akamino.
Hakim Rhodzariah Bujang yang mengetuai panel tiga hakim berkata rayuan itu tidak mempunyai merit, lebih-lebih lagi apabila terdapat dapatan serentak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
“Sabitan itu selamat dan hukuman yang dijatuhkan mahkamah bicara juga dikekalkan,” kata Rhodzariah yang bersidang bersama Hakim Lee Swee Seng dan P Ravinthran.
Di bawah Akta Dadah Berbahaya 1950, seseorang secara undang-undang dianggap mengedar dadah jika didapati memiliki 50g atau lebih methamphetamine yang juga dikenali sebagai syabu.
Akahimo pada mulanya didakwa bersama tiga lelaki lain atas kesalahan yang dilakukan di kawasan parkir sebuah restoran di Batu 11, Ulu Langat, Selangor, kira-kira 6 petang pada 24 Mei 2022.
Berdasarkan fakta kes, dia dan tiga lagi tertuduh tiba di kawasan parkir itu dengan sebuah kereta.
Dia kemudian keluar daripada kenderaan dan menuju ke sebuah kereta lain yang diparkir sebelum membuka pintu kereta tersebut untuk mengambil dadah yang disimpan dalam sebuah kotak di tempat duduk penumpang.
Polis kemudiannya menyerbu kawasan itu dan menahannya walaupun dia cuba melarikan diri selepas menjatuhkan kotak tersebut. Tiga lelaki lain turut ditahan.
Bagaimanapun, ketiga-tiga lelaki itu dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 2024 dan pihak pendakwaan tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Dalam penghakiman ringkasnya, Rhodzariah berkata tindakan Akahimo memegang kotak mengandungi dadah itu menunjukkan dia mempunyai milikan sukarela terhadap bahan terlarang itu.
“Tidak penting sama ada dia hanya memegang kotak itu selama 10 saat,” katanya.
Beliau berkata tiada sebarang gangguan material dalam rantaian bukti yang boleh menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.
Rhodzariah turut berkata keputusan pendakwaan untuk tidak memanggil pemilik kereta tempat dadah itu ditemui sebagai saksi tidak menjejaskan kes mereka.
Peguam R Sivananthan mewakili Akahimo, manakala Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim dan Siti Rafidah Zainuddin mewakili pendakwaan.