
Dalam permohonan kebenaran merayu, kumpulan itu menyatakan mereka telah merangka 24 soalan melibatkan isu Perlembagaan dan perundangan baharu yang berkepentingan awam, yang menurut kumpulan berkenaan dibangkitkan buat pertama kali di hadapan Mahkamah Persekutuan.
Seorang bekas pegawai Kementerian Luar, Aminah Ahmad, telah memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan tersebut.
Peguam mereka, Abdul Shukor Ahmad, menyatakan permohonan itu telah difailkan pada minggu lalu dan salinan dokumen kausa sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
“Mereka juga telah memfailkan perakuan segera supaya perkara ini dapat didengar secepat mungkin,” katanya kepada FMT.
Pada 9 Mac, Hakim Azhahari Kamal Ramli, ketika menyampaikan keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, membenarkan rayuan kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi, yang sebelum ini mewajibkan kerajaan menyelaraskan pencen bekas penjawat awam di bawah pekeliling perkhidmatan 2016.
Azhahari menyatakan, isu berkenaan telah diputuskan menerusi Mahkamah Rayuan terdahulu, pada 2022.
Katanya, semakan kehakiman difailkan 57 pemohon tersebut adalah ‘res judicata’ (perkara telah diputuskan mahkamah yang kompeten, justeru tidak boleh diteruskan lagi oleh pihak sama) dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Namun, panel hakim dipengerusikan Hakim Lim Chong Fong dan turut dianggotai oleh Meor Hashimi Abdul Hamid, menjelaskan keputusan berkenaan hanya terpakai kepada 57 responden dalam kes terdahulu itu.
Dalam keputusan pada 2022, Mahkamah Rayuan membatalkan pindaan dibuat terhadap Akta Penyelarasan Pencen 1980 (APP) pada 2013, yang memperkenalkan kenaikan tahunan kadar rata 2% bagi pesara.
Mahkamah memutuskan pindaan 2013 itu tidak mengikut Perlembagaan kerana meletakkan pesara awam dalam kedudukan kurang menguntungkan, sekali gus bercanggah dengan Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.
Aminah dan pemohon lain kemudian memfailkan semakan kehakiman terbaru bagi memohon perintah Mahkamah Tinggi mewajibkan kerajaan menyelaraskan pencen mereka berdasarkan formula pra-2013 di bawah APP.
Di bawah formula pra-2013, pencen disemak selaras pelarasan gaji penjawat awam yang sedang berkhidmat.
Pada Januari 2023, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan tersebut, sekali gus membawa kepada rayuan. Bagaimanapun, perintah itu digantung sementara menunggu keputusan rayuan.