
Tertuduh, Nurul Asyikin Sutan Shahril, 42, membuat pengakuan demikian di hadapan Hakim Siti Aishah Ab Rashid.
Mengikut tiga pertuduhan dibacakan berasingan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal termasuk melakukan seks oral terhadap mangsa yang mana tertuduh mempunyai hubungan amanah dengannya sebagai guru kelas, lapor Sinar Harian.
Perbuatan tersebut dilakukan di bawah pokok di hadapan Taman Apartment Arowana Seremban 2 dan di sebuah rumah di Taman Nusa Intan, Seremban, antara 12 Sept 2025 hingga 7 April 2026.
Susulan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 Akta sama dan boleh dihukum di bawah peruntukan seksyen berkenaan.
Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak dan boleh dihukum bawah peruntukan seksyen tersebut. Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan sebat.
Bagi kesalahan bawah Seksyen 16, boleh dipenjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.
Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa dengan cara menunjukkan gambar alat sulitnya melalui aplikasi WhatsApp bagi maksud seksual dan turut mendorong mangsa menghantar gambar sama, antara 13 Sept 2025 hingga 10 April 2026, di sebuah bilik apartment di Seremban 2.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 15(a)(i) dan Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 Akta yang sama, dan boleh dihukum di bawah peruntukan seksyen tersebut.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dengan syarat perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan, tidak menganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport.
Peguam, Zaflee Pakwanteh memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya bekerja sebagai guru dengan pendapatan RM6,000 sebulan.
Katanya, tertuduh sudah berkahwin serta mempunyai dua orang anak dan jumlah jaminan yang mampu dibayarnya ialah RM5,000 bagi setiap pertuduhan. Beliau turut memaklumkan bahawa tertuduh sudah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah selepas laporan polis dibuat terhadapnya.
Dalam prosiding tersebut turut hadir peguam pemerhati, Nurul Ain Syamimie Anuar yang mewakili firma guaman Zahid Ahmad & Associates.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM25,000 bagi semua pertuduhan bersama syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan.