3 warga Korea Selatan didakwa culik rakan senegara

3 warga Korea Selatan didakwa culik rakan senegara

Mereka didakwa culik mangsa bagi tuntut wang tebusan di Jalan Genting Highlands, Bentong, 17 April lalu.

tiga lelaki warga korea
Kwon Kyung-ryul, Kwak Jae-il, dan Kim Myeong-joon didakwa di Mahkamah Sesyen Raub mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga lelaki warga Korea Selatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Raub, Pahang atas pertuduhan menculik seorang rakan senegara bulan lalu.

Bernama melaporkan ketiga-tiga tertuduh menuntut wang tebusan kira-kira RM39.7 juta dalam Tether, iaitu mata wang kripto yang dipautkan kepada dolar Amerika Syarikat.

Kwon Kyung-ryul, 28, Kwak Jae-il, 40, dan Kim Myeong-joon, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka dalam bahasa Korea oleh jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Noor Zaihan Ali.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa secara bersama untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak USDT10 juta selepas melarikan dan menahan seorang lelaki warga Korea Selatan berusia 40 tahun secara salah di KM16, Jalan Genting Highlands, Bentong, 17 April lalu.

Pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 (Akta 374) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan sebatan, jika disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Fathin Nadhirah Kasim memohon satu tarikh baharu untuk sebutan semula kes bagi membolehkan penyerahan dokumen dan pelantikan peguam terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Beliau berkata kes berkenaan telah dimaklumkan kepada pihak kedutaan Korea Selatan.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh menetapkan 29 Jun ini untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.