
Hakim Celestina Stuel Galid memutuskan pada semalam bahawa pemohon, Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (Pembela), tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk memfailkan permohonan itu.
Peguam negara sebagai penjaga kepentingan awam bertindak membantah permohonan itu atas alasan ia adalah remeh.
Celestina ketika menyampaikan keputusan tersebut secara dalam talian, turut memerintahkan Pembela membayar kos RM10,000 kepada peguam negara dan Mahkamah Koroner.
Pembela diwakili Jul Hamri Jumhani, manakala Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan bertindak bagi pihak peguam negara.
Peguam Shahlan Jufri hadir sebagai pihak berkepentingan bagi pihak Noraidah Lamat, iaitu ibu Zara.
Pada 21 Nov, Pembela memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan inkues berkenaan atas alasan ia dijalankan di bawah Kanun Prosedur Jenayah persekutuan dan bukannya Ordinan Inkues Sabah 1959.
Berhujah bahawa undang-undang negeri mengandungi jaminan prosedur yang khusus, mereka memohon perintah mengisytiharkan ordinan 1959 sebagai undang-undang terpakai dan agar mahkamah membatalkan prosiding sedang berjalan.
Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai tahun lalu, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar.