Mahkamah batal pertuduhan rasuah terhadap pengarah, syarikat

Mahkamah batal pertuduhan rasuah terhadap pengarah, syarikat

Mahkamah benarkan bantahan awal pembelaan yang berhujah pertuduhan terhadap tertuduh bersifat cacat dan tidak boleh dipertahankan.

shah alam court
Mahkamah Sesyen Shah Alam menjelaskan keputusan itu bukan pelepasan dan pembebasan penuh kerana merit kes belum dibicarakan.
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Shah Alam membatalkan pertuduhan rasuah terhadap seorang pengarah syarikat dan Pristine Offshore Sdn Bhd selepas mendapati pendakwaan itu kabur serta tidak jelas.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membuat keputusan itu dalam prosiding membabitkan pengarah syarikat berkenaan, Chew Ben Ben dan Pristine Offshore.

Mahkamah membenarkan bantahan awal pembelaan diketuai Dzulkifli Ahmad yang berhujah pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh bersifat cacat dan tidak boleh dipertahankan.

Chew sebelum ini didakwa memberikan rasuah berjumlah RM207,850 kepada seorang ketua pegawai eksekutif syarikat melalui individu lain, antara 28 Ogos hingga 14 Okt 2020, di sebuah bank di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Wang itu didakwa diberikan bagi memastikan perjalanan satu projek berkaitan perkhidmatan marin ‘berjalan lancar’.

Pristine Offshore pula didakwa sebagai organisasi komersial mengikut Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berhubung transaksi sama.

Mahkamah menjelaskan frasa ‘berjalan lancar’ dalam pertuduhan terlalu umum dan boleh ditafsir dalam pelbagai maksud, sama ada positif atau negatif.

Bagaimanapun, mahkamah menjelaskan keputusan itu bukan pelepasan dan pembebasan penuh kerana merit kes belum dibicarakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.