Bekas pegawai bank didenda RM90,000 terima suapan urusan pinjaman rumah

Bekas pegawai bank didenda RM90,000 terima suapan urusan pinjaman rumah

Pada 25 Feb 2025, tertuduh didakwa atas 26 tuduhan meminta suapan berjumlah RM153,622.47 dalam tempoh lima tahun bermula 2018.

Mahkamah Majistret Ayer Keroh
Mahkamah Sesyen Ayer Keroh menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas 17 pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM123,132.50. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang bekas pegawai bank didenda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas 17 pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM123,132.50 dan gagal melaporkan pemberian suapan berkaitan urusan pinjaman perumahan dalam tempoh lima tahun bermula 2019.

Harian Metro melaporkan Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Rais Mohamed Ramli, 45, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap 17 pertuduhan pilihan hari ini.

Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan hingga 10 bulan, jika gagal membayar denda itu. Dia kemudian membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ke-17, dia didakwa menerima suapan berjumlah RM123,132.50 daripada Tetuan Arizal Jailani & Co melalui akaun Anugerah Qaseh Enterprise milik isterinya di Maybank Islamic Taman Sri Gombak, Batu Caves antara 13 Dis 2019 hingga 27 Jan 2023.

Ia sebagai upah bagi tertuduh, yang ketika itu ketua jualan Ibu Pejabat Malaysia Building Society Berhad (MBSB), membantu firma guaman terbabit diberikan rujukan kes urusan pinjaman perumahan dengan MBSB melalui pegawai eksekutif bank berkhidmat di bawah seliaannya.

Tertuduh didakwa melanggar peruntukan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan tidak melaporkan pemberian suapan itu kepada pegawai SPRM atau polis seperti ditetapkan Seksyen 25(1) akta sama.

Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam menjalankan tugasnya, tertuduh terikat kepada polisi bank, iaitu hanya layak mendapat bonus tahunan dan tidak boleh menerima sebarang komisen daripada pelanggan atau panel peguam terbabit dalam keputusan pinjaman pembiayaan hartanah dengan MBSB.

Tetapi, sekitar 2018 hingga 2023, tertuduh didapati meminta suapan daripada firma guaman itu melalui seorang individu sebagai komisen atas bantuannya memberikan rujukan kes urusan pinjaman perumahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh, tetapi peguam SS Amritpal Singh merayu denda minimum atas alasan anak guamnya diberhentikan sebaik didakwa dan kini bekerja sebagai ejen hartanah bebas, selain menanggung isteri tidak bekerja dan tiga anak berusia sembilan hingga 19 tahun serta ibu yang uzur.

Terdahulu, pada 25 Feb 2025, tertuduh didakwa atas 26 tuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, iaitu meminta suapan berjumlah RM153,622.47 dalam tempoh lima tahun bermula 2018.

Disebabkan tertuduh mengaku bersalah atas 17 pertuduhan pilihan, mahkamah melepaskannya daripada baki sembilan tuduhan utama di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 selaras peruntukan Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah atas permohonan pihak pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.