Mahkamah Singapura benar permohonan gulung 3 firma dalam skandal 1MDB

Mahkamah Singapura benar permohonan gulung 3 firma dalam skandal 1MDB

Penyelesai kini akan kemuka tuntutan berkanun lanjut terhadap BSI Bank dan Standard Chartered kerana didakwa permudah penipuan libat dana terkait 1MDB.

Standard Chartered and BSI logo
Pada Mac, Mahkamah Tinggi Singapura tolak permohonan Standard Chartered dan BSI Bank untuk menjadi sebahagian permohonan penggulungan bagi tiga firma yang dikaitkan dengan 1MDB kerana tidak penuhi kriteria sebagai pemiutang luar jangka.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Singapura membenarkan permohonan penggulungan tiga entiti diperbadankan di British Virgin Island yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Penyelesai Angela Barkhouse dan Toni Shukla dari Kroll Limited, berkata keputusan mahkamah itu membolehkan mereka mengemukakan tuntutan berkanun lanjut terhadap BSI Bank Ltd dan Standard Chartered Plc kerana didakwa memudahkan penipuan melibatkan 1MDB.

“Memandangkan perintah penggulungan tempatan ini telah diberikan, tuntutan berkanun berkaitan terhadap Standard Chartered dan BSI Singapore akan difailkan dalam masa terdekat.

“Ia adalah tambahan kepada tuntutan berterusan lain yang dikemukakan terhadap bank berkenaan, termasuk tuntutan atas bantuan tidak jujur, pelanggaran kewajipan kemahiran dan penjagaan yang munasabah oleh pihak bank, serta pelanggaran mandat perbankan mereka, berkenaan dengan syarikat-syarikat yang kini memasuki proses penyelesaian di Singapura.

“Ini merupakan satu langkah positif ke hadapan dalam usaha mempertanggungjawabkan institusi kewangan dan individu atas peranan mereka dalam penipuan berskala besar melibatkan 1MDB,” kata Barkhouse dan Shukla dalam kenyataan.

Pihak tersebut menyatakan, matlamat mereka adalah untuk mendapatkan semula aset daripada individu dan institusi yang dikenal pasti bertanggungjawab dalam penyelewengan aset milik ketiga-tiga syarikat BVI itu.

“Aset-aset tersebut akhirnya boleh dikesan kembali kepada dana yang asalnya bertujuan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia namun dilesapkan,” kata penyelesai berkenaan.

Pada Julai tahun lalu, Barkhouse dan Shukla menyaman Standard Chartered dan BSI Bank bagi pihak tiga anak syarikat 1MDB yang sedang dalam proses penyelesaian.

Saman tersebut berkaitan dengan dakwaan kegagalan pihak bank mengenal pasti dan bertindak terhadap petanda amaran dalam lebih 100 pemindahan antara bank sekitar 2009 dan 2013.

Pihak penuntut menyatakan, mereka kerugian lebih USD2.7 bilion dan SD20 juta dana awam daripada transaksi yang didakwa melanggar peraturan antipengubahan wang haram serta kewajipan usaha wajar Singapura, lapor The Edge.

Namun, saman itu telah ditolak Mahkamah Rayuan Singapura pada Mac, yang mengekalkan keputusan bahawa bank tersebut tidak boleh disaman atas transaksi yang berlaku sebelum 2018, iaitu tahun di mana undang-undang insolvensi rentas sempadan republik itu mula berkuat kuasa.

Pada bulan sama, Standard Chartered dan BSI Bank gagal untuk menjadi sebahagian daripada permohonan penggulungan bagi firma yang dikaitkan dengan 1MDB, selepas Mahkamah Tinggi memutuskan mereka tidak memenuhi kriteria sebagai pemiutang luar jangka.

Firma tersebut sedang dalam proses penyelesaian di BVI sebagai sebahagian usaha mendapatkan semula dana didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.