
Fahmi, yang juga jurucakap kerajaan Madani berkata ahli perniagaan dalam buruan itu sepatutnya pulang untuk berdepan dengan pengadilan di mahkamah Malaysia berkaitan skandal kewangan 1MDB.
“Jho Low tidak patut diberi sebarang pertimbangan memaafkan kerana dosa dan musibah yang telah dia bawa kepada negara kita ini terlalu besar.
“Dia kena balik dan dibawa ke mahkamah di Malaysia untuk diadili. Itu yang sepatutnya berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sambutan Hari Guru Lembah Pantai 2026.
Fahmi berkata, kerajaan belum membincangkan lagi perkara tersebut kerana berita itu disiarkan ketika mesyuarat Jemaah Menteri sedang berlangsung, semalam.
Media antarabangsa melaporkan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho yang dituduh oleh AS sebagai dalang antara penipuan kewangan terbesar dalam sejarah, didakwa telah memfailkan permohonan bagi mendapatkan pengampunan daripada Presiden Donald Trump beberapa minggu lepas.
Menurut laporan itu, jika permohonan diluluskan, ia akan menggugurkan pertuduhan jenayah AS terhadap Jho Low.
Laporan itu turut menyebut laman sesawang Jabatan Kehakiman AS menyenaraikan status permohonan dibuat atas nama Taek Jho Low dan difailkan tahun ini sebagai ‘pending’ (belum selesai) bagi ‘Pardon after Completion of Sentence’ (pengampunan selepas selesai menjalani hukuman).
Ahli perniagaan itu sebelum ini berdepan pertuduhan menyeleweng kira-kira USD4.5 bilion (RM17.7 bilion) dana 1MDB pada 2018, namun sehingga kini, beliau masih bebas dan menjadi buruan pihak berkuasa.
Terdahulu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, menyampaikan sumbangan kepada 30 pelajar cemerlang SPM, serta mengumumkan sumbangan RM3,000 bagi setiap sekolah di Parlimen itu sempena Hari Guru akan disambut Sabtu ini.