
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu menyebabkan syarikat dari Norway yang terlibat tidak dapat meneruskan pembekalan seperti dipersetujui, walaupun kontrak perolehan berkenaan telah dimeterai sejak 2018.
Katanya, kontrak tersebut telah dilaksanakan tanpa sebarang isu, dengan semua pembayaran dibuat mengikut jadual.
“Kerajaan Malaysia sama sekali tidak dapat menerima alasan yang dikemukakan oleh kerajaan Norway,” katanya pada sidang media mingguan yang diadakan di Angkasapuri.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan Madani berkata, kerajaan kini sedang mengambil tindakan melalui saluran diplomatik selain mempertimbangkan langkah susulan dari sudut perundangan kerana perkara berkaitan perancangan pertahanan negara melibatkan kepentingan strategik yang tidak boleh dikompromi.