Lelaki rugi SGD4.9 juta tertipu bantuan dana Selat Hormuz

Lelaki rugi SGD4.9 juta tertipu bantuan dana Selat Hormuz

Pasukan Polis Singapura berkata kes itu merupakan antara siri penipuan yang melibatkan penyamaran sebagai pegawai kanan kerajaan, termasuk setiausaha kabinet.

hacker scammer
Menurut Pasukan Polis Singapura, penipu dipercayai menyasarkan golongan profesional perniagaan yang pernah berurusan dengan pegawai kerajaan.
SINGAPURA:
Seorang lelaki menjadi mangsa penipuan membabitkan bantuan dana yang kononnya berkaitan Selat Hormuz dan mengalami kerugian sekurang-kurangnya SGD4.9 juta (RM15.09 juta), menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Khamis.

SPF berkata kes itu merupakan antara siri penipuan yang melibatkan penyamaran sebagai pegawai kanan kerajaan, termasuk setiausaha kabinet, menurut nasihat yang dimuat naik di laman sesawang rasmi pasukan itu.

SPF mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap skim sedemikian.

Polis berkata penipu dipercayai menyasarkan golongan profesional perniagaan yang pernah berurusan dengan pegawai kerajaan sebelum ini. Penipu akan memaklumkan mangsa supaya menghadiri mesyuarat maya bersama presiden, menteri dan pegawai kerajaan lain.

“Dalam satu kes, mangsa menerima mesej WhatsApp menggunakan gambar profil Setiausaha Kabinet Wong Hong Kuan, yang memaklumkan beliau perlu menghadiri mesyuarat bersama Perdana Menteri Lawrence Wong. Mangsa turut menerima emel daripada [email protected] yang kononnya dihantar oleh Setiausaha Kabinet, meminta bantuan dana segera berkaitan situasi di Selat Hormuz.

“Emel itu turut mengandungi surat jaminan yang kelihatan seperti dikeluarkan oleh kerajaan dan memaparkan tandatangan PM (Perdana Menteri) Wong, yang menyatakan dana berkenaan akan dibayar balik oleh Kerajaan Singapura dalam tempoh 15 hari bekerja.

“Mangsa kemudian dijemput menyertai persidangan video Zoom yang kelihatan melibatkan PM Wong serta beberapa pegawai kerajaan tempatan dan luar negara lain. Hakikatnya, peserta persidangan itu direka menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) deepfake,” menurut kenyataan itu.

Selepas mesyuarat itu, mangsa kemudiannya dihubungi menerusi WhatsApp untuk memindahkan sekurang-kurangnya SGD4.9 juta melalui beberapa transaksi ke akaun bank korporat yang diberikan penipu.

Mangsa kemudiannya mula curiga dan menghubungi setiausaha kabinet pada Khamis, sebelum menyedari beliau telah ditipu.

Berhubung kes terdahulu yang menggunakan modus operandi sama, polis telah menahan dan mendakwa tiga individu pada 9 Mei 2026 kerana disyaki terlibat dalam kesalahan berkaitan kad SIM.

Sementara itu, polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memindahkan wang atau memberikan butiran kad pengenalan kepada individu tidak dikenali atau individu yang identitinya tidak dapat disahkan, sambil menegaskan bahawa pegawai kerajaan Singapura tidak akan menjalankan urusan penting sedemikian melalui emel atau panggilan telefon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.