
Bekas ketua pegawai strategi KWSP itu berkata, impak tersebut akan berterusan walaupun perang berakhir dalam masa terdekat, kerana rantaian bekalan yang terjejas serta telaga minyak yang ditutup memerlukan beberapa bulan untuk pulih.
“Pada asasnya, kita jangkakan menjelang akhir tahun ini, atau mungkin hingga 2027, barulah kita akan lihat bekalan minyak kembali normal,” katanya kepada BFM hari ini.
Nurhisham, yang mengetuai sekretariat pasukan petugas pengurusan krisis Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berkata, pembukaan semula telaga minyak tidak semudah memulakan kembali pengeluaran.
Akibatnya, beliau menganggarkan sebanyak 12 hingga 13 juta tong minyak sehari kini ‘tersekat’ akibat gangguan yang dikaitkan dengan konflik tersebut.
“‘Tersekat’ bukan sekadar bermakna tutup paip, (sebaliknya) keseluruhan saluran tersebut disimen. Akan ambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk buka semula telaga yang telah ditutup.”
Tambahnya, ribuan kapal masih terkandas di sekitar Selat Hormuz, dan laluan tersebut akan mengalami kesesakan teruk apabila dibuka kelak, lantas melambatkan lagi pemulihan bekalan.
‘Sama seperti Februari 2020’
Nurhisham berkata, kerajaan khuatir rakyat Malaysia memandang remeh keseriusan krisis tersebut, membandingkan situasi semasa dengan fasa awal wabak Covid-19.
“Saya rasa kita seolah-olah berada pada Februari 2020. Virus (Covid-19) baru sahaja nak merebak. Kita dengar semua berita tentangnya, (tetapi) semuanya berjalan seperti biasa. Tetapi pada bulan berikutnya, kita berdepan dengan krisis besar.”
Walaupun bahan api kekal menjadi kebimbangan utama, beliau memberi amaran krisis itu akan merebak lebih jauh ke sektor pembuatan dan barangan pengguna berikutan kekurangan bahan mentah petrokimia.
“Seluruh ekonomi kita bergantung kepada plastik, nilon, poliester, nafta dan semua bahan terbitan ini,” katanya menambah, pelbagai produk – daripada barangan penjagaan kebersihan hingga komponen automotif – akhirnya boleh terjejas.
Nurhisham berkata, Jun dan Julai boleh menjadi titik peralihan utama memandangkan perniagaan mula kehabisan stok simpanan bahan mentah sedia ada.
“Kita akan mula lihat operasi pengeluaran dihentikan. Kita akan mula lihat pekerja kehilangan kerja lebih masa, serta pengurangan syif,” katanya.
Walaupun terdapat sumber-sumber alternatif, beliau berkata, wujud beberapa cabaran teknikal, termasuk tempoh penghantaran kapal yang lebih lama dan isu keserasian dengan spesifikasi pembuatan sedia ada.