Petronas perkukuh daya tahan Malaysia depani kejutan global, kata Liew

Petronas perkukuh daya tahan Malaysia depani kejutan global, kata Liew

Timbalan menteri kewangan berkata, penubuhan syarikat minyak negara itu jadi contoh bagaimana krisis dapat rangsang pembaharuan strategik jangka panjang.

LIEW CHIN TONG-AFFIN MARKET OUTLOOK 2026
Liew Chin Tong berkata, Malaysia kini dapat manfaat daripada keputusan tubuh Petronas sebagai respons terhadap krisis minyak 1973-1974.
KUALA LUMPUR:
Keputusan menubuhkan Petronas sebagai tindak balas terhadap krisis minyak 1973-1974 telah membantu memperkukuh daya tahan Malaysia dalam mendepani kejutan global yang seterusnya, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.

Liew berkata, penubuhan syarikat minyak negara itu menjadi contoh bagaimana sesuatu krisis dapat merangsang pembaharuan strategik jangka panjang.

“Salah satu keputusan yang dibuat oleh pemimpin Malaysia pada masa itu adalah menubuhkan Petronas,” katanya pada Affin Market Outlook Conference.

“Ini kerana mereka sedar bahawa tanpa syarikat petroleum negara, dan dengan hanya bergantung pada syarikat minyak asing yang beroperasi di negara kita, kita akan terjejas dengan cara yang sama apabila krisis seterusnya berlaku.”

Krisis 1973-1974, yang dicetuskan oleh sekatan dikenakan oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum Arab semasa perang Arab-Israel, menyebabkan harga minyak meningkat empat kali ganda dan mendorong ekonomi global ke kancah kemelesetan.

Liew berkata, Malaysia kini meraih manfaat melalui Petronas dan operasi hilirannya.

Katanya, negara perlu mengambil pendekatan ‘bina semula dengan lebih baik’ (build-back-better) di tengah-tengah ketidaktentuan akibat konflik AS-Iran, dengan mengenal pasti hasil pascakrisis yang diinginkan untuk Malaysia dan kemudian merangka strategi daripada matlamat akhir tersebut untuk menentukan langkah sewajarnya.

Bulan lepas, Petronas menyatakan bahawa bekalan bahan api di stesen-stesennya di seluruh negara dijangka bertahan hingga akhir Jun, manakala Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan langkah-langkah selanjutnya pada pertengahan Mei bagi memastikan bekalan kekal stabil.

Syarikat minyak negara itu membekalkan kira-kira 50% daripada keperluan bahan api negara melalui anak syarikatnya yang tersenarai awam, Petronas Dagangan Bhd, manakala bakinya dibekalkan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.

Liew turut memetik kemudahan metanol Petronas di Labuan, sambil menyatakan bahawa gabungan kedua-dua loji tersebut membentuk kompleks pengeluaran metanol terbesar di dunia.

Perjalanan yang masih panjang

Liew berkata, krisis tenaga semasa boleh berlanjutan selama 12 hingga 18 bulan lagi, sekalipun konflik di Asia Barat selesai.

Beliau memberi amaran bahawa Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada petroleum selama-lamanya, sebaliknya perlu memikirkan semula penggunaan kereta persendirian, memperkukuh pengangkutan awam dan mengkaji semula corak penggunaan bahan api secara lebih meluas untuk mengurangkan kerentanan jangka panjang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.