
Terdahulu hari ini, laporan media memetik Liew berkata, kerajaan mungkin mengurangkan kuota bulanan BUDI95 daripada 200 liter kepada 150 liter susulan kebimbangan berhubung bekalan bahan api global yang dikaitkan dengan konflik di Timur Tengah.
Menerusi hantaran di Facebook, Liew kemudian menjelaskan beliau tidak mengumumkan sebarang dasar baharu kerajaan atau mencadangkan had bahan api bulanan sebanyak 150 liter pada acara Affin Bank di Kuala Lumpur, hari ini.
“Pagi ini, dalam satu majlis anjuran Affin Bank, saya ditanya mengenai strategi kerajaan untuk menangani krisis tenaga. Namun, apabila dilaporkan, ia tidak tepat kerana diambil di luar konteks.
“Perlu dijelaskan di sini bahawa saya tidak membuat sebarang pengumuman baharu bagi pihak kerajaan, dan saya juga tidak pernah mengumumkan had 150 liter berpotensi menjadi dasar kerajaan.
“Saya kesal kerana kenyataan saya telah mencetuskan salah faham, dan saya berharap semua pihak dapat memahami konteks penuh apa yang sebenarnya saya katakan,” katanya.
Liew berkata, ulasannya dibuat dalam konteks perbincangan mengenai strategi lebih meluas kerajaan untuk menguruskan krisis tenaga global, sambil menambah bahawa mekanisme BUDI95 ialah instrumen berguna kerana ia menyediakan data untuk lebih memahami corak perjalanan dan penggunaan bahan api rakyat Malaysia.
Beliau turut menekankan keperluan masyarakat mencapai kata sepakat dalam mengurangkan penggunaan bahan api bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api jangka panjang.
Program BUDI95 diperkenalkan pada penghujung September tahun lepas bagi memastikan subsidi petrol RON95 hanya memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang layak, di samping membendung ketirisan kepada warga asing dan entiti komersial.
Semasa program itu diperkenalkan, warganegara Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah boleh membeli sehingga 300 liter petrol RON95 sebulan pada harga subsidi RM1.99 seliter.
Bagaimanapun, pada Mac lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kuota bulanan 300 liter itu akan dikurangkan kepada 200 liter sebagai langkah sementara dalam menangani kesan konflik di Timur Tengah.