MoF mahu lebih banyak firma semikonduktor disenarai dalam bursa

MoF mahu lebih banyak firma semikonduktor disenarai dalam bursa

Timbalan Menteri Liew Chin Tong berkata pasaran saham ketika ini belum mencerminkan sepenuhnya kekuatan serta keupayaan industri negara.

semiconductor
Timbalan Menteri Liew Chin Tong, berkata usaha mewujudkan laluan lebih banyak syarikat semikonduktor disenaraikan di Bursa Malaysia bertujuan membina ekonomi dan pasaran modal lebih kukuh.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kewangan (MoF) sedang meneroka kaedah mewujudkan laluan lebih banyak syarikat berkaitan semikonduktor, termasuk syarikat berkaitan pelaburan langsung asing (FDI), dan firma tempatan disenaraikan di Bursa Malaysia, kata Timbalan Menteri Liew Chin Tong.

Beliau berkata, langkah itu penting kerana pasaran saham ketika ini masih belum mencerminkan sepenuhnya kekuatan serta keupayaan industri negara, memandangkan Malaysia masih terlalu bergantung kepada model pertumbuhan dipacu FDI.

“Ia selama ini lebih tertumpu kepada kemasukan modal asing ke dalam negara, namun tidak banyak modal itu dikitar atau diagihkan semula dalam ekonomi domestik,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada program Affin Market Outlook 2026.

Liew berkata, usaha mewujudkan laluan untuk lebih banyak syarikat semikonduktor disenaraikan di Bursa Malaysia perlu dilaksanakan bagi membina ekonomi dan pasaran modal lebih kukuh, khususnya ketika ledakan kecerdasan buatan (AI) sedang berlaku.

Ini kerana, menurutnya Malaysia sudah memiliki keupayaan kukuh dalam rantaian nilai semikonduktor terutama dalam kalangan pembekal peralatan dan automasi yang menjadi antara komponen penting industri berkenaan.

“Jika kita bercakap mengenai daya tahan rantaian bekalan, memanfaatkan gelombang perindustrian serta memastikan modal terus beredar dalam ekonomi, maka kita boleh membina ‘mini Korea’ atau ‘mini Taiwan’ dalam pasaran modal dan industri negara,” katanya.

Liew berkata, selain pembangunan industri, Malaysia juga perlu memberi tumpuan kepada usaha membina rakyat yang lebih ‘terjamin’ dengan menangani isu pekerjaan, gaji, perumahan, dan pembangunan bandar supaya rakyat lebih yakin dari segi ekonomi serta mampu mengambil bahagian dalam fasa pertumbuhan negara seterusnya.

Sementara itu, dalam sesi perbualan santai bertajuk ‘Malaysia’s Response to the Global Energy Crisis: Build Back Better’ yang dikendalikan Penolong Editor The Edge Emir Zainul, Liew berkata sektor semikonduktor Malaysia berada pada kedudukan pertengahan yang penting dalam rantaian bekalan global.

Beliau berkata, pada ketika ekonomi Barat mula mempelbagaikan rantaian bekalan mereka di luar China, Malaysia bersama Singapura, dan Vietnam antara negara yang mampu menggantikan sebahagian peranan China dalam ekosistem semikonduktor dan AI.

“Apabila rantaian bekalan mula dipelbagaikan di luar China, persoalannya ialah siapa yang akan menggantikannya. Dalam konteks global, hanya negara seperti Singapura, Malaysia, dan Vietnam berada pada kedudukan untuk menyerap sebahagian ekosistem itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.