Sarawak rancang ambil alih lebih banyak entiti persekutuan

Sarawak rancang ambil alih lebih banyak entiti persekutuan

Langkah itu penting untuk perluas penguasaan ekonomi negeri, wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kemahiran tinggi, kata premier Sarawak.

Abang Johari Openg
Abang Johari Openg berkata, transformasi ekonomi Sarawak kini sedang bergerak ke arah ekonomi berteknologi tinggi yang antaranya beri tumpuan kepada tenaga boleh baharu dan AI. (Gambar Ukas)
KUCHING:
Kerajaan Sarawak merancang untuk mengambil alih lebih banyak entiti dan aset strategik kerajaan persekutuan bagi memperkukuh ekonomi negeri, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, kata Abang Johari Openg.

Premier Sarawak berkata, langkah itu penting dalam memperluas penguasaan ekonomi negeri, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyatnya, khususnya dalam sektor teknologi dan industri baharu.

Dalam tempoh enam tahun lepas, katanya, Sarawak telah mengambil alih beberapa aset dan entiti strategik daripada kerajaan pusat, termasuk Empangan Bakun, Pelabuhan Bintulu serta MASwings Sdn Bhd.

“Kita (Sarawak) juga mewujudkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), kita ambil alih ekuiti dalam Affin Bank (menjadi pemegang saham terbesar Affin Bank Bhd) dan banyak lagi nak kita ambil alih.

“Kita luaskan ekonomi kita berdasarkan kepada PCDS … ini bermakna peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan,” katanya pada sambutan Hari Pekerja peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Abang Johari berkata, transformasi ekonomi Sarawak kini sedang bergerak ke arah ekonomi berteknologi tinggi yang memberi tumpuan kepada tenaga boleh baharu, automasi, kecerdasan buatan (AI), digitalisasi serta industri semikonduktor.

Menurutnya, Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir dan profesional dalam pelbagai bidang termasuk aeroangkasa, teknologi digital dan industri cip semikonduktor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.