
Sumber dekat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), menyatakan langkah itu bertujuan mengalihkan insentif kepada unit EV pemasangan tempatan (CKD) bagi merangsang pertumbuhan industri, pewujudan peluang pekerjaan, dan rantaian bekalan lebih kukuh.
Putrajaya sebelum ini telah menawarkan insentif cukai besar bagi EV yang diimport sepenuhnya sepanjang empat tahun lalu.
Di bawah dasar berkenaan, unit CBU dikecualikan duti import dan eksais, menjadikannya jauh lebih murah.
Insentif tersebut tidak terhad kepada mana-mana negara atau syarikat, dan telah memberi manfaat kepada pelbagai pengeluar dari China, Eropah, Jepun, Korea, dan Amerika Syarikat (AS).
Difahamkan, Perbendaharaan telah melepaskan hasil cukai sekitar RM3.3 bilion sepanjang tempoh insentif berlangsung.
Namun, sumber itu menyatakan aspek dasar berkenaan sememangnya sentiasa bersifat sementara.
“Tempoh insentif (bagi unit CBU) berakhir secara rasmi pada Disember 2025, bermakna EV yang diimport kini kembali kepada struktur cukai asal.
“Kenderaan CKD akan terus menikmati insentif sedia ada,” kata sumber berkenaan.
Langkah tersebut mencerminkan anjakan dasar lebih luas daripada sekadar meningkatkan jualan EV kepada usaha menggalakkan kesan limpahan ekonomi tempatan yang lebih kuat, tambah sumber itu.
“Ini bermakna, lebih banyak pemasangan tempatan, lebih banyak peluang pekerjaan, vendor tempatan yang mengukuh, pemindahan teknologi, keupayaan selepas jualan, dan pelaburan meluas dalam ekosistem EV.”
Anjakan tersebut juga berlaku di sebalik kebimbangan mengenai peningkatan bil import automotif Malaysia, yang mencecah hampir RM50 bilion antara 2022 dan 2025.
“Bagi penggubal dasar, ini menimbulkan persoalan lebih besar: apakah Malaysia patut terus menggunakan hasil awam terutamanya untuk menjadikan kenderaan import lebih murah, atau patutkah insentif digunakan untuk membina lebih banyak nilai industri tempatan?” kata sumber dalaman kementerian.
Sumber dalaman itu memberitahu FMT, bahawa kementerian bimbang walaupun insentif cukai diberikan, infrastruktur EV awam, terutamanya kemudahan pengecasan tidak berkembang sepantas diharapkan.
Pengkritik juga menekankan fakta bahawa banyak syarikat yang mendapat manfaat daripada pengecualian besar tersebut mengutamakan jualan kenderaan, berbanding melabur secara agresif dalam infrastruktur pengecasan dan pembangunan ekosistem.
Menurut sumber tersebut, perkara itu telah mencetuskan perbincangan dalam kerajaan mengenai sama ada dana awam patut terus memberi subsidi kepada EV import, memandangkan pembelinya secara amnya terdiri golongan berpendapatan tinggi.
“Anjakan dasar ini bukan mengenai kewarganegaraan. Ia mengenai peralihan daripada fasa kemasukan pasaran kepada fasa penyetempatan.
“Bagi memudahkan peralihan, kerajaan masih membenarkan syarikat untuk menghabiskan stok EV sedia ada dan kenderaan yang sudah pun dalam transit di bawah struktur insentif lama.”