Petronas, MISC meterai perjanjian 20 tahun sewa 5 kapal LNG

Petronas, MISC meterai perjanjian 20 tahun sewa 5 kapal LNG

Kapal pengangkut canggih ini akan dibina di Shanghai, dengan jangkaan permulaan sewa khas pada 2029 hingga 2030, kata Petronas.

MISC akan sediakan perkhidmatan pengurusan projek sepanjang tempoh pembinaan kapal LNG itu, disusuli dengan pengoperasian dan pengurusan kapal sejurus penghantaran bermula 2029. (Gambar MISC)
KUALA LUMPUR:
Petronas LNG Ltd (PLL) memeterai perjanjian carter atau sewa khas selama 20 tahun dengan MISC Group bagi lima kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) baharu berkapasiti 174,000 meter padu.

Usaha itu sekali gus memperkukuh kebolehpercayaan bekalan LNG bagi jangka panjang selain menyokong peralihan tenaga pelanggan ke arah masa depan berkarbon rendah.

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memaklumkan, perjanjian itu dimeterai baru-baru ini oleh Ketua Pegawai Eksekutif PLL Ezran Mahadzir manakala MISC diwakili oleh Naib Presiden Aset Gas dan Penyelesaian Hazrin Hasan.

“Ini susulan daripada pemeteraian kontrak pembinaan kapal antara MISC dan Hudong-Zhonghua Shipbuilding (Group) Co Ltd pada Januari dan Februari 2026.

“Kapal pengangkut canggih ini akan dibina di Shanghai, China dengan jangkaan permulaan sewa khas pada 2029 hingga 2030,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim Petroliam Nasional Bhd Adif Zulkifli menyifatkan penambahan kapal pengangkut LNG baharu itu sebagai satu lagi pencapaian penting ketika syarikat terus memanfaatkan kekuatan kolektif perniagaannya untuk mewujudkan nilai jangka panjang yang merentasi rantaian nilai LNG.

“Menerusi langkah menyelaraskan aspirasi pertumbuhan syarikat bersama kepakaran maritim MISC, kami memperkukuh keupayaan bersepadu yang menyokong kedudukan Petronas sebagai pembekal LNG global yang diyakini,” katanya.

Petronas memaklumkan kapal berkenaan akan dilengkapi dengan teknologi moden yang dipacu oleh kecekapan selaras dengan standard alam sekitar dan operasi yang berkembang pesat.

Ini termasuk teknologi rejangan jet terkini XDF2.1, generator syaf yang meningkatkan kecekapan bahan api ketika tempoh pelayaran serta kemudahan pencairan semula bagi menguruskan proses berkaitan secara cekap.

“MISC akan menyediakan perkhidmatan pengurusan projek sepanjang tempoh pembinaan kapal itu yang disusuli dengan pengoperasian dan pengurusan kapal sejurus penghantaran bermula 2029,” katanya.

“Pendekatan bersepadu ini bagi memastikan kesinambungan serta kebolehpercayaan operasi lebih tinggi daripada peringkat pembinaan hingga operasi komersial dengan memanfaatkan pengalaman luas MISC dalam pengurusan kapal LNG.”

Petronas turut memaklumkan kerjasama itu turut mencerminkan tumpuan berterusan syarikat dalam memperkukuh daya tahan dan kebolehpercayaan rantaian bekalan LNG menerusi perkongsian strategik selain menyumbang kepada pembangunan keupayaan tenaga serta maritim Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.