
“Semakin lama gangguan bekalan, walaupun hanya beberapa minggu lagi, semakin lama masa diperlukan untuk pasaran minyak kembali seimbang dan stabil,” katanya pada sidang video membincangkan keputusan suku pertama Aramco.
Beliau berkata, krisis itu boleh berlarutan hingga 2027 sekiranya kebuntuan di Selat Hormuz berterusan sehingga pertengahan Jun.
Menurut ketua syarikat tenaga terbesar dunia itu, pasaran yang telah kehilangan satu bilion tong minyak akibat gangguan pengeluaran atau pengangkutan akan terus kehilangan kira-kira 100 juta tong setiap minggu, selagi selat itu kekal ditutup.
Nasser mengingatkan sebelum ini kira-kira 70 kapal melalui Selat Hormuz setiap hari.
Serangan terhadap negara pengeluar minyak di Teluk Parsi dan penutupan efektif selat itu oleh Iran, yang menjadi laluan kepada satu perlima bekalan minyak dan gas dunia memberi kesan negatif terhadap pengeluaran dan eksport.
Sebelum konflik tercetus pada 28 Feb, kira-kira 20 juta tong minyak sehari memasuki pasaran melalui laluan air berkenaan.
Pada 28 Feb, Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran, menyebabkan kerosakan dan kematian.
Pada 7 April, Washington dan Tehran mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu.
Rundingan susulan di Islamabad berakhir tanpa keputusan, manakala Presiden AS Donald Trump melanjutkan penghentian permusuhan bagi memberi masa kepada Iran mengemukakan ‘cadangan bersepadu’.
Ketegangan itu hampir menghentikan trafik di Selat Hormuz, laluan utama penghantaran minyak dan gas asli cecair dari negara Teluk Parsi ke pasaran global, sekali gus melonjakkan harga bahan api.
Pada 3 Mei, Trump mengumumkan Project Freedom untuk membantu kapal yang tersekat di Selat Hormuz dan mahu keluar dari laluan itu.
Pada 5 Mei, Trump berkata beliau memutuskan untuk menghentikan sementara operasi berkenaan bagi tempoh singkat bagi melihat sama ada perjanjian damai dengan Iran dapat dicapai.
Pada Isnin, Trump menyifatkan maklum balas Tehran terhadap cadangan damai AS sebagai tidak boleh diterima sama sekali.