
Hakim Aliza Sulaiman turut mendapati perintah pengecualian itu tidak rasional kerana dibuat tanpa rundingan sewajarnya dengan Lembaga Racun.
Saman itu difailkan oleh Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Persatuan Paru-Paru Hijau Malaysia, dan Voice of the Children yang menamakan Kemeterian Kesihatan (KKM), menteri kesihatan dan kerajaan persekutuan sebagai responden.
Dalam penghakimannya, Aliza, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, mendapati pengecualian itu didorong terutamanya oleh pertimbangan ekonomi berkaitan rancangan kerajaan untuk mengenakan cukai ke atas cecair vape yang mengandungi nikotin.
“Walaupun menyedari rokok elektronik dan cecair vape berbahaya kepada kesihatan, responden pertama, iaitu KKM, tetap meneruskan perintah dipertikaikan itu bagi melaksanakan keputusan berkaitan percukaian,” katanya.
Beliau berkata pengecualian itu mewujudkan kelompangan undang-undang dalam kawal selia produk vape bernikotin sebelum Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 berkuat kuasa pada 1 Okt 2024.
Beliau memutuskan Parlimen tidak pernah berniat membiarkan produk vape bernikotin tidak dikawal selia dalam tempoh berkenaan.
Berhubung rundingan dengan Lembaga Racun, Aliza memutuskan proses dijalankan kerajaan hanyalah sekadar formaliti.
Beliau berkata tiada mesyuarat fizikal diadakan antara menteri kesihatan ketika itu dengan lembaga berkenaan, dan tiada perbincangan lanjut dibuat selepas lembaga itu sebulat suara menolak cadangan mengecualikan cecair dan gel vape bernikotin daripada senarai racun.
“Jika saya boleh menyatakannya secara agak terus terang, ia hampir seperti keputusan yang sudah dimuktamadkan,” katanya.
Mahkamah turut memutuskan rundingan di bawah Seksyen 6 Akta Racun 1952 mestilah dibuat secara sedar, bermakna, bertujuan dan berkesan.
Tiada perintah berhubung kos dibuat selepas pemohon menyatakan mereka tidak menuntut kos kerana kes itu melibatkan litigasi kepentingan awam.
Peguam K Shanmuga mewakili kumpulan kesihatan awam itu, manakala peguam kanan persekutuan Nurhafizza Azizan mewakili responden.