Lelaki maut ditikam dalam pergaduhan jual beli vape ‘mushroom’

Lelaki maut ditikam dalam pergaduhan jual beli vape ‘mushroom’

Mangsa berusia 30 tahun mengalami tikaman di bahagian belakang kanan badan hingga menembusi paru-paru kanan, selain kecederaan pendarahan di kepala.

mayat
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka pada 1.26 tengah hari tadi. (Gambar Pixabay)
JASIN:
Seorang lelaki maut selepas ditikam dalam pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada urusan jual beli perisa rokok elektronik (vape) berperisa “mushroom” di kawasan taman permainan di Taman Muhibbah, Merlimau, di sini, semalam.

Ketua Polis Jasin Lee Robert berkata dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa berusia 30 tahun mengalami tikaman di bahagian belakang kanan badan hingga menembusi paru-paru kanan, selain kecederaan pendarahan di kepala.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka pada 1.26 tengah hari tadi.

“Seorang lagi mangsa berusia 26 tahun mengalami kecederaan termasuk luka hirisan pada tangan kanan dan rusuk kanan serta calar pada muka. Polis menerima laporan berhubung kejadian itu malam tadi sebelum berjaya menahan empat suspek lelaki berusia antara 20 hingga 35 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Lee berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham ketika urusan jual beli perisa vape berkenaan sehingga menyebabkan suspek tidak berpuas hati sebelum bertindak menyerang mangsa menggunakan pisau.

Beliau berkata pergaduhan tercetus selepas salah seorang mangsa dipercayai menegur dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek.

“Suspek kemudian bertindak mengejar kedua-dua mangsa sebelum mencederakan mereka menggunakan pisau, manakala dua lagi suspek dipercayai memukul mangsa dengan tangan.

“Kedua-dua mangsa sempat melarikan diri dengan menaiki kereta sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Merlimau dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Melaka,” katanya.

Beliau berkata polis turut merampas beberapa barangan termasuk pakaian, telefon bimbit, sepasang selipar dan sebilah pisau patah yang mempunyai kesan disyaki darah bagi membantu siasatan.

Katanya semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik, manakala ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada mereka positif methamphetamine.

“Bedah siasat akan dijalankan di Hospital Melaka esok bagi mengenal pasti punca kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.