
Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah, berkata senjata itu ditemui kira-kira 200m dari lokasi kejadian selepas dipandu arah oleh suspek yang juga ejen hartanah.
“Dua hari lepas kita menjumpai senjata dipercayai digunakan dalam kejadian itu di dalam sawah, kira-kira 200m dari tempat kejadian. Kita jumpa selepas dipandu arah oleh suspek sendiri.
“Jadi, ini adalah sesuatu yang positif untuk siasatan polis dalam kes ini,” katanya menurut Kosmo di IPK Kedah, Alor Setar.
Ahad lalu, wanita berusia 35 tahun parah ditikam kenalan lelaki di hadapan sebuah restoran di Titi Gajah, sekitar 9.19 malam.
Suspek berusia 32 tahun diberkas kira-kira empat jam selepas kejadian kini direman seminggu dengan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, katanya, keadaan mangsa dilaporkan lemah tetapi stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.