Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Zuraida berkait kes bon PKR

Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Zuraida berkait kes bon PKR

Sidang hakim berkata tiada keadaan luar biasa untuk membenarkan permohonan bekas Ahli Parlimen Ampang itu.

zuraida
PKR saman Zuraida Kamaruddin pada 2020, mendakwa beliau melanggar bon kontraktual dengan menyertai Bersatu susulan Langkah Sheraton.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, untuk menyemak semula kebenaran yang ia beri kepada PKR untuk merayu pengurangan liabiliti bawah bon parti daripada RM10 juta kepada RM100,000.

Sidang tiga hakim dipengerusikan Rhodzariah Bujang berkata tiada keadaan luar biasa untuk membenarkan permohonan itu, yang dipohon berasaskan Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan.

Aturan 137 menyentuh kuasa Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula keputusan terdahulu bagi mengelakkan ketidakadilan atau penyalahgunaan proses.

Aduan Zuraida adalah sidang hakim Mahkamah Persekutuan tahun lalu meminda soalan undang-undang yang dikemukakan oleh PKR ketika membenarkan permohonan parti itu.

Beliau mendakwa tindakan tersebut bermakna sidang hakim terdahulu telah bertindak di luar bidang kuasa.

Rhodzariah, yang bersidang bersama Nazlan Ghazali dan Collin Lawrence Sequerah, berkata Mahkamah Persekutuan pada masa lalu pernah meminda soalan undang-undang semasa pendengaran rayuan, dan Aturan 108 memperuntukkan perkara tersebut.

“Ia juga boleh dilakukan pada peringkat kebenaran merayu untuk memperhalusi soalan yang dikemukakan, dan ini tidak dianggap sebagai bertindak di luar bidang kuasa,” katanya.

Sidang hakim memerintahkan Zuraida membayar kos sebanyak RM50,000 kepada PKR.

Pada 24 Jun, sidang tiga hakim dipengerusikan Nallini Pathmanathan membenarkan permohonan PKR untuk merayu atas satu soalan undang-undang.

Soalan tersebut adalah sama ada mahkamah boleh mengetepikan pengakuan bahawa jumlah tertentu mewakili nilai yang diterima menurut sesuatu kontrak, bagi menentukan pampasan munasabah dalam keadaan kes berkenaan.

Turut bersidang untuk mendengar permohonan PKR itu ialah Hakim Nordin Hassan dan Vazeer Alam Mydin Meera.

PKR menyaman Zuraida pada 2020, mendakwa beliau melanggar bon kontraktual dengan menyertai Bersatu susulan Langkah Sheraton pada Februari tahun itu.

Syarat bon menghendaki Zuraida membayar RM10 juta kepada PKR dalam tempoh tujuh hari jika beliau meletak jawatan untuk menyertai parti politik lain atau menjadi Ahli Parlimen bebas.

Dalam pembelaannya, Zuraida mendakwa bon itu melanggar hak kebebasan berpersatuan yang dinyatakan Perlembagaan.

Pada 23 Jun 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman PKR dan memberikan penghakiman yang memihak kepada PKR, memutuskan bahawa Zuraida melanggar syarat bon yang ditandatangani dengan parti itu sebelum PRU 2018.

Pada 11 Dis 2024, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Zuraida terhadap liabiliti namun mengurangkan kuantum tersebut, memutuskan bahawa jumlah RM10 juta adalah tidak munasabah, dan sebaliknya memberikan PKR RM100,000.

Ranjit Singh, Navpreet Singhee, William Leong, Gregory Leong, dan Liew Hong Wei mewakili PKR selaku peguam.

Azhar Harun, Nurul Najwa Zainuddin, dan Syed Afiq Syed Albakri bertindak bagi pihak Zuraida.

Navpreet beritahu pemberita bahawa pengurusan kes akan diadakan esok untuk menetapkan tarikh pendengaran rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.