
“Susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu, SPRM akan memfailkan notis rayuan dalam masa terdekat dan perkara ini telah dibawa kepada perhatian Jabatan Peguam Negara,” menurut kenyataan.
Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk mendapatkan perintah larangan ke atas wang pelaburan berjumlah RM548 juta yang didakwa dimiliki Naimah, anaknya dan tujuh pihak lain dalam beberapa akaun bank di Singapura, hari ini.
Hakim Arief Emran Arifin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan selaku pemohon gagal memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).
Pada 19 Jun 2025, SPRM smemfailkan permohonan ‘ex-parte’ untuk menghalang Naimah, anaknya iaitu Muhammed Amir Zainuddin, dua individu, lima syarikat atau mana-mana pihak berkaitan dengannya daripada menguruskan harta yang berada di luar Malaysia iaitu wang pelaburan GBP21 juta (kira-kira RM121 juta) dan USD99 juta (kira-kira RM423 juta) di Singapura.
Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 AMLATFPUAA susulan siasatan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan dan Seksyen 4(1).