
Ketua Pemuda PKR, Kamil Abdul Munim, mendakwa dana itu untuk menggerakkan propaganda politik, termasuk operasi media sosial serta mobilisasi protes jalanan bagi mewujudkan sentimen antikerajaan atas nama demokrasi dan hak asasi manusia.
“Mana-mana gerakan yang menerima dan menyalahgunakan pembiayaan luar untuk mencatur naratif politik domestik secara tersusun perlu disiasat secara menyeluruh dan telus tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memetik laporan mendakwa sebuah yayasan berpangkalan di Amerika Syarikat menyalurkan lebih RM1.5 juta kepada sebuah syarikat tempatan dikaitkan dengan sebuah NGO melalui beberapa transaksi antara November 2024 dan Jun 2025.
Beliau turut merujuk dakwaan yayasan itu membuat tujuh transaksi berjumlah RM686,729.00 kepada pengarah eksekutif NGO terbabit dan beberapa individu dikaitkan dengan NGO berkenaan sepanjang 2024 hingga 2025.
“Jika dakwaan itu benar, Malaysia tidak boleh menjadi medan eksperimen geopolitik kuasa asing untuk mencatur landskap politik negara melalui proksi tempatan.
“Campur tangan sebegini bukan sahaja menghakis kedaulatan negara, malah berpotensi mencetuskan ketidaktentuan politik yang akhirnya memberi kesan langsung kepada ekonomi rakyat, keyakinan pelabur dan kestabilan sosial negara.”
Tegasnya, alasan kebebasan dan demokrasi tidak boleh dijadikan perisai untuk menghalalkan sebarang aktiviti membabitkan penggunaan serta penyelewangan dana asing bagi kegiatan politik yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.
Jumaat lalu, kumpulan belia Mandiri menafikan mereka menggunakan dana asing untuk membantu menjatuhkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan mereka bertindak sebagai proksi untuk bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli.
Kumpulan itu bertindak balas terhadap laporan polis mengenai video tular yang mendakwa lebih RM1.5 juta dana asing disalurkan kumpulan AS dikenali Tides Foundation kepada Mandiri.