
Beliau berkata taklimat itu dijangka diadakan minggu ini membabitkan Jabatan Wilayah Persekutuan, task force ketua pengarah, datuk bandar Kuala Lumpur serta pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.
“Jadi sedang usahakan taklimat. Selepas taklimat itu nanti, kita akan maklumkan kepada media.
“Kita nak dapatkan butiran lengkap. Sekarang ini kita hanya baca laporan media sahaja,” katanya pada sidang media selepas melawat trek pecut baharu di SJKT Segambut.
Jumaat lalu, SPRM memaklumkan bahawa siasatan isu penukaran status tanah kolam takungan banjir di ibu negara diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA) oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
Katanya, keputusan itu dibuat selepas siasatan menyeluruh SPRM berdasarkan keterangan dan dokumen diperolehi mendapati tiada unsur rasuah dikenal pasti.
Siasatan SPRM turut membabitkan penukaran status beberapa kawasan berhampiran kolam takungan air di ibu negara, termasuk di Taman Wahyu, bagi tujuan pembangunan.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Mohd Hafaz Nazar, mendedahkan pihaknya sebelum ini sudah menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan proses kelulusan beberapa projek pembangunan yang dikatakan menjejaskan fungsi kolam takungan air di sekitar Kuala Lumpur.