Keputusan bodoh beri kawasan takung bah kepada pemaju, Hannah luah kecewa

Keputusan bodoh beri kawasan takung bah kepada pemaju, Hannah luah kecewa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berterus-terang kecam tindakan kerajaan terdahulu yang menyebabkan Kuala Lumpur hilang 70% kawasan itu.

hannah yeoh
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, berkata ibu kota ketika ini juga tiada cukup tanah untuk dijadikan alternatif penyelamat berdepan isu banjir. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menyifatkan keputusan kerajaan terdahulu meluluskan pembangunan di kawasan kolam takungan banjir di ibu negara sebagai ‘bodoh’ dan mengancam rakyat.

Katanya, Kuala Lumpur sudah kehilangan 70% kawasan yang sepatutnya mampu mengelak bencana, selain ibu kota ketika ini juga tidak mempunyai cukup tanah untuk dijadikan alternatif penyelamat situasi sedemikian.

“Keputusan untuk memberikan kolam takungan banjir kepada pemaju dan mengurangkan badan air sebanyak 70% adalah satu keputusan kurang bijak. Saya boleh nyatakan ini keputusan bodoh.

“Kenapa? Kerana kita tahu di Kuala Lumpur kita tak cukup tanah dan kita sentiasa berhadapan dengan kejadian banjir. Setiap tahun, kita ada perkara bencana itu sekiranya hujan lebat,” katanya menurut Berita Harian di Kuala Lumpur.

Hannah turut menzahirkan kehairanan kenapa pemilikan sedemikian boleh diluluskan kerana jelas merisikokan keselamatan penduduk.

“Sekarang kita sudah tidak ada alternatif dan kerajaan pada masa itu berikan kolam takungan banjir, yang mungkin diberikan melalui mesyuarat dengan kertas kerja yang teratur, tetapi situasi sebenar bukanlah yang (dicatat) di atas kertas.

“Sekarang ini setiap kali hujan kita berhadapan dengan isu banjir kilat di Kuala Lumpur malah banjir besar pernah berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas siasatan SPRM yang mendapati tiada tindakan lanjut (NFA) berhubung isu penukaran status tanah kolam takungan banjir berkenaan, Hannah mengakui beliau tidak kecewa dengan perkara itu.

“Saya tidak kecewa kerana bagi saya, ini bukan sesuatu yang bersifat peribadi. Tiada apa yang peribadi. Tetapi, seperti yang saya katakan, ia adalah keputusan bodoh untuk menyerahkan kolam takungan air.

“Jadi saya akan bercakap terus terang. Ia memang satu keputusan bodoh dan saya tidak boleh mengubah apa yang berlaku pada masa lalu. Namun, pada masa akan datang, saya akan memastikan perkara ini dilindungi sebaik mungkin.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.