
Fadlun Mak Ujud berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berlaku di Jalan Wangsa Delima 4 itu, dan kawasan terlibat ditutup sementara selama dua minggu untuk kerja-kerja pembaikan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat tembok sump atau struktur takungan air dalam sistem saliran utama berdiameter 1.5m di kawasan itu yang dipercayai telah pecah.
“Kita dapati tembok sump tersebut pecah dan kita tidak jumpa dekat mana tembok itu jatuh. Bersebelahan kawasan itu juga terdapat utiliti dan mungkin ada kerja utiliti menggunakan kaedah HDD (horizontal directional drilling) yang dilakukan di bawah tanah tanpa dapat dilihat di permukaan.
“Ada kemungkinan kerja itu terkena pada tembok berkenaan, menyebabkan ia pecah dan air longkang terus mengalir ke tanah sehingga menyebabkan lubang benam,” katanya pada sidang media di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini, lapor Bernama.
Sidang media tersebut turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Muhammad Azmi Mohd Zain.
Fadlun berkata, kawasan yang ditutup ketika ini dianggarkan seluas 4m panjang, 4m lebar dan 4m dalam.
Sementara itu, katanya, satu lagi lubang kecil turut dikesan berhampiran sebuah bank di kawasan pejalan kaki di Jalan Tun Perak semalam.
“Kejadian itu hanya melibatkan lubang cetek kira-kira sedalam satu kaki dan bukan disebabkan isu utiliti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerja-kerja pemetaan utiliti di kawasan Jalan Masjid India kini hampir 90% siap, membabitkan laluan sepanjang 32km.
Katanya, kerja pembaikan laluan pejalan kaki di kawasan itu dijangka bermula Oktober ini, dan DBKL akan memasang ‘settlement marker’ di beberapa lokasi tertentu bagi memantau sebarang pergerakan tanah secara masa nyata.
“Sekiranya berlaku pergerakan tanah, kita akan dapat bacaan secara masa nyata supaya tindakan segera boleh diambil di kawasan Masjid India bermula dari Semua House hingga ke Masjid India,” katanya.
Mengenai jumlah penanda yang akan dipasang, Fadlun berkata, DBKL masih menunggu laporan Institut Kerja Raya Malaysia, selain teknologi sama turut akan digunakan di 1,120 kawasan cerun di ibu negara bagi memantau pergerakan tanah.