
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata terdapat bukti bekas Ahli Parlimen itu telah menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) sebelum mengosongkan kerusi mereka, berdasarkan maklumat yang dipaparkan di laman web parti berkenaan.
Katanya, syarat bon parti tersebut oleh itu masih berkuatkuasa.
“Mereka mengatakan bahawa Akta Anti Lompat Parti itu tidak terpakai. Tetapi saya ada bukti bahawa mereka telah pun masuk parti Bersama dalam laman web parti, dengan ‘timestamp’ pada 17 Mei.
“Kalau ikut dasar perlembagaan parti, maka mereka sudah pun lompat parti pada 17 Mei, sebelum mereka mengosongkan kerusi mereka pada hari ini,” katanya.
Fuziah berkata walaupun PKR menyerahkan perkara itu kepada pasukan undang-undang parti, ia juga dijangka dibincangkan dalam mesyuarat biro politik esok, termasuk kemungkinan tindakan terhadap kedua-dua bekas pemimpin itu.
Di bawah bon tersebut, calon yang menang atas tiket PKR dikehendaki membayar RM10 juta dalam tempoh tujuh hari jika mereka meletak jawatan daripada parti, menyertai parti lain, atau menjadi ahli bebas.
Semalam, Rafizi berkata beliau dan Nik Nazmi tidak terikat dengan bon RM10 juta itu, dan keputusan mereka mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa terlebih dahulu merupakan sebab mereka tidak akan berdepan tindakan disiplin atau undang-undang.
Menurut Rafizi, bon itu hanya terpakai jika seorang Ahli Parlimen keluar parti dan menyertai parti lain tanpa mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket PKR.
Mereka turut menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, memaklumkan peletakan jawatan kerusi Parlimen mereka berkuat kuasa hari ini.