
Surat itu dihantar Rafizi dan Nik Nazmi kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul bertarikh berkuat kuasa hari ini.
“Langkah yang tepat dan terhormat adalah memulangkan kembali mandat itu kepada pengundipengundi di parlimen Pandan dan Setiawangsa, memandangkan kami dipilih di atas tiket Pakatan Harapan (PH) dalam pilihanraya umum yang lepas.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengundi Pandan dan Setiawangsa yang telah memilih kami mewakili mereka di Parlimen untuk dua penggal.
“Pusat Khidmat kami akan beroperasi seperti biasa untuk terus memberi bantuan dan khidmat kepada pengundi-pengundi,” kata kedua-duanya dalam kenyataan bersama.
Mereka juga mengulangi pendirian bertanding di kerusi terbabit pada pilihan raya akan datang.
Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar daripada PKR selain mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa, serta mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Rafizi dan Nik Nazmi masing-masing meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi serta menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar pada Mei 2025.
Tindakan ini dibuat selepas Rafizi kalah dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR kepada Nurul Izzah Anwar pada pemilihan parti. Rakan gandingannya, Nik Nazmi, juga gagal mengekalkan jawatan naib presiden.
Sejak itu, hubungan Rafizi dengan kepimpinan PKR menjadi dingin dan beliau mula bersikap kritikal secara terbuka terhadap kerajaan serta parti.