Misi ‘kamikaze’ Rafizi khianati mandat rakyat, kata pemimpin PKR

Misi ‘kamikaze’ Rafizi khianati mandat rakyat, kata pemimpin PKR

Mahmud Epah anggap langkah politik baharu Rafizi Ramli termasuk kosong kerusi Pandan hanya untuk agenda peribadi.

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli semalam umum beliau bersama Nik Nazmi Nik Ahmad akan ambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama) sebagai hala tuju baharu politik.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR Sarawak mengkritik tindakan Rafizi Ramli yang menyifatkan langkah keluar parti dan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan sebagai ‘misi kamikaze’.

Setiausaha PKR Sarawak Mahmud Epah berkata tindakan itu bukan sekadar langkah politik berisiko, sebaliknya boleh dianggap sebagai mengkhianati mandat dan kepercayaan pengundi Pandan.

Katanya, pengundi telah memberi mandat kepada Rafizi untuk berkhidmat sebagai Ahli Parlimen sepanjang penggal, bukannya meninggalkan kerusi itu di tengah jalan demi agenda politik baharu.

“Mandat dan undi rakyat bukan permainan. Ia tidak boleh dibuang atau diganti sesuka hati hanya kerana cita-cita politik peribadi tidak tercapai,” katanya dalam kenyataan.

Mahmud berkata penggunaan istilah “misi kamikaze” oleh Rafizi bagi menggambarkan langkah politiknya menunjukkan sikap yang lebih mementingkan agenda peribadi dan publisiti politik berbanding tanggungjawab kepada rakyat.

Katanya, tindakan seperti itu tidak wajar dijadikan contoh kepimpinan masa depan.

Mahmud juga berkata kemelut membabitkan Rafizi tidak akan menjejaskan sokongan akar umbi PKR Sarawak terhadap kepimpinan parti pusat yang diterajui Anwar Ibrahim.

Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar daripada PKR selain mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing, iaitu Pandan dan Setiawangsa.

Kedua-duanya juga mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama), yang didaftarkan di Pulau Pinang pada 2 Dis 2016.

Rafizi dan Nik Nazmi masing-masing sebelum ini meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi serta menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar pada Mei 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.