Populariti Rafizi belum cukup untuk Bersama cabar parti besar, kata penganalisis

Populariti Rafizi belum cukup untuk Bersama cabar parti besar, kata penganalisis

Mujibu Muis berkata Rafizi Ramli punya tarikan terutama di kawasan bandar, namun survival parti turut bergantung jentera akar umbi, sumber dan naratif meyakinkan.

Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad semalam umum keluar PKR serta kosongkan kerusi Pandan dan Setiawangsa selain ambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama).
PETALING JAYA:
Parti Bersama Malaysia (Bersama) mungkin mendapat perhatian pengundi bandar selepas diterajui Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, namun populariti kedua-dua tokoh itu sahaja belum cukup menjadikannya pencabar serius kepada parti perdana, kata penganalisis.

Mujibu Muis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata bekas dua pemimpin PKR itu terutama Rafizi mungkin dilihat popular kerana mempunyai kelebihan seperti pernah berada dalam kerajaan, memimpin parti besar, selain membawa imej sebagai pemikir strategi.

“Namun survival parti baharu bukan bergantung kepada populariti tokoh semata-mata, tetapi gabungan isu semasa, organisasi, sumber, jaringan akar umbi dan kemampuan membina naratif yang meyakinkan pengundi,” katanya kepada FMT.

Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar PKR selain mengosongkan kerusi Parlimen Pandan serta Setiawangsa selain mengambil alih Bersama yang didaftarkan di Pulau Pinang pada 2 Dis 2016 sebagai kuasa ketiga bertindak sebagai ejen semak dan imbang.

Rafizi dan Nik Nazmi, masing-masing meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi serta menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar, pada Mei 2025.

Tindakan ini dibuat selepas Rafizi kalah dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR kepada Nurul Izzah Anwar pada pemilihan parti. Rakan gandingannya, Nik Nazmi, juga gagal mengekalkan jawatan naib presiden.

Sejak itu, hubungan Rafizi dengan kepimpinan PKR menjadi dingin dan beliau mula bersikap kritikal secara terbuka terhadap kerajaan serta parti.

Mujibu berkata berkata PKR dan Pakatan Harapan (PH) tidak akan lumpuh dengan pemergian dua tokoh itu kerana masih memiliki struktur parti, pengaruh dalam kerajaan dan jenama kukuh.

Namun, menurutnya kesan lebih besar mungkin berlaku dari sudut persepsi terutama jika Bersama berjaya menarik pemimpin pertengahan, aktivis dan penyokong reformasi yang merasakan idealisme asal PKR semakin pudar.

Katanya, Bersama pimpinan Rafizi dan Nik Nazmi mungkin mempunyai peluang mendapat sokongan di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Selangor selain kawasan separa bandar di Negeri Sembilan.

“Namun saya agak skeptikal parti ini mampu menembusi negeri yang politiknya masih kuat dipengaruhi identiti etnik dan agama seperti Kelantan, Terengganu serta sebahagian besar kawasan luar bandar di utara Semenanjung,” katanya.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting pula berkata Bersama berisiko menjadi ‘startup politik’ yang kelihatan segar pada peringkat awal, tetapi gagal berkembang jika tidak mempunyai jentera akar umbi kukuh.

“Jenama Rafizi mungkin menarik parti kecil, NGO progresif dan pengundi bandar,” katanya yang menjangkakan keadaan itu berisko menjadi pemecah undi di kawasan campuran yang selama ini menjadi kekuatan PH.

Beliau turut menyifatkan Bersama sebagai ‘anak kandung kecewa’ yang lahir daripada kegagalan PKR mengurus bakat dan perbezaan pandangan dalam parti.

Mengulas tindakan mengosongkan kerusi Pandan dan Setiawangsa, Zaharuddin berkata langkah itu mungkin tampak ‘gentleman’ tetapi mungkin gimik politik untuk mencipta momentum awal.

Mujibu pula melihatnya sebagai isyarat perjuangan Rafizi dan Nik Nazmi yang tidak lagi mahu bergantung kepada logo PKR semata-mata, sebaliknya menguji sama ada sokongan terhadap mereka berpaksikan idea, rekod dan kekuatan individu.

“Tetapi ia berisiko besar kerana hilang platform rasmi di Parlimen untuk membawa isu rakyat, mencabar dasar kerajaan dan mengekalkan perhatian politik nasional,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.