Reset tawar bina semula negara, sasar menang PRU16, kata Saifuddin

Reset tawar bina semula negara, sasar menang PRU16, kata Saifuddin

Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata gagasan itu mahu menyatukan pemikiran rakyat melalui Konsensus Nasional Baharu demi negara lebih maju, makmur dan bahagia.

hamzah zainudin
Hamzah Zainudin melancarkan ‘Reset’ pada 14 Feb lalu yang menjadi sebahagian gagasan Konsensus Nasional Baharu bagi menyusun semula landskap politik dan pentadbiran negara.
PETALING JAYA:
Gagasan Konsensus Nasional Baharu digariskan dalam dokumen ‘Reset Malaysia’ adalah tawaran politik-dasar untuk membina semula negara berasaskan kepentingan rakyat pelbagai lapisan, dengan sasaran memenangi PRU16 bagi membentuk kerajaan.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, berkata gagasan itu tidak harus dilihat sebagai slogan politik semata-mata, sebaliknya rangka besar untuk membawa Malaysia ke arah negara lebih maju, makmur dan bahagia.

saifuddin abdullah
Saifuddin Abdullah.

“Reset bermaksud apa yang salah dibetulkan, apa yang baik ditambah baik, dan apa yang rosak diperbaharui,” katanya dalam kenyataan sambil menekankan Reset digagaskan Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin turut menekankan penyatuan pemikiran rakyat Malaysia.

Hamzah yang dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu susulan krisis kepimpinan parti diketuai Muhyiddin Yassin itu, melancarkan gerakan Reset sehari kemudian.

Bekas timbalan presiden Bersatu itu dilaporkan akan mengetuai sebuah parti baharu. Bagaimanapun, Hamzah turut membayangkan platform bakal disertainya mungkin sudah berada dalam PN.

Saifuddin yang juga bekas menteri luar negeri menjelaskan, Konsensus Nasional Baharu juga menampilkan tiga tonggak utama perjuangan iaitu matlamat bersama, kemakmuran bersama dan tadbir urus berperikemanusiaan.

Katanya, tonggak matlamat bersama menekankan usaha menjadikan Malaysia negara maju secara bersepadu dengan kekuatan rakyat sendiri, kepelbagaian sebagai kelebihan, politik stabil, demokrasi matang, institusi bertaraf dunia serta integriti dan antirasuah.

“Kemakmuran bersama pula menumpukan jaminan makanan, pendapatan dan tempat tinggal, selain penyusunan semula lapisan pendapatan rakyat, penyelesaian kemiskinan pendidikan, pembesaran kek ekonomi dan pengagihan hasil secara telus serta saksama,” katanya.

Bagi tonggak radbir urus berperikemanusiaan, Saifuddin berkata pentadbiran kerajaan dan undang-undang perlu digerakkan dengan mutu, integriti dan empati supaya tiada rakyat tertinggal, terpinggir atau dizalimi.

Menyentuh PRU16, Saifuddin berkata kemenangan memerlukan konfigurasi politik stabil, termasuk sokongan majoriti daripada kaum majoriti serta sokongan majoriti atau signifikan daripada kaum minoriti.

“Reset adalah gerakan melaksanakan Konsensus Nasional Baharu demi mencapai Malaysia yang diidamkan, merangkumi pembaharuan politik, ekonomi, pendidikan, institusi, keselamatan, hubungan antarabangsa dan perkhidmatan awam.

“Kekuatan utama gagasan itu terletak pada prinsip bahawa kepentingan negara mesti mengatasi kepentingan parti dan peribadi,” katanya.

“Pokoknya, negara memerlukan komitmen masa depan yang baru. Tawaran dan wajah baru.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.