Aminuddin kata 14 Adun Umno ‘khianat’ kerajaan N Sembilan

Aminuddin kata 14 Adun Umno ‘khianat’ kerajaan N Sembilan

Semua 14 Adun tarik balik sokongan terhadap menteri besar itu pada 27 April sambil menyatakan mereka hilang percaya.

Aminuddin Harun
Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, mengibaratkan kerajaan pimpinan seperti ‘kapal besar walaupun mampu tampal, tetap ada tanda kebocoran’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata keputusan 14 Adun Umno menarik balik sokongan adalah satu tindakan khianat terhadap kerajaan negeri.

Berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru, pengerusi PH Negeri Sembilan itu mengibaratkan kerajaan negeri seperti ‘kapal besar’ yang dibina bersama.

“Kami di Negeri Sembilan ada kapal besar, yang kita bina cukup hebat, kukuh tak makan dek badai dan perjalanan jauh sudah dilalui bersama,” katanya.

“Tiba-tiba mereka rasa tak selesa, mungkin panas, mungkin rasa mahu sesuatu yang baharu, mereka tebuk dari dalam.

“Jadi, apabila ditebuk, jadikan satu kesan, walaupun mampu tampal, tetapi tetap ada tanda kebocoran. Apabila ada tanda kebocoran, itulah tanda ada pengkhianatan sebelum ini.”

Kenyataan itu dibuat susulan krisis politik kerajaan Negeri Sembilan apabila semua 14 Adun Umno menarik balik sokongan terhadap Aminuddin, pada 27 April.

Mereka menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin, yang juga naib presiden PKR, berhubung pengendalian dalam pertikaian melibatkan empat Undang yang cuba untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar.

Pada 6 Mei, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil, berkata situasi tersebut telah diselesaikan susulan perbincangan antara pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) dan PH.

Presiden Umno Zahid Hamidi, juga berkata parti itu kekal komited menyuokong kerajaan perpaduan negeri dan tidak pernah membincangkan mengenai penggantian Aminuddin sebagai menteri besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.