Rancang bubar kerajaan perpaduan lepas BN Johor gerak solo, Tony Pua beritahu PH

Rancang bubar kerajaan perpaduan lepas BN Johor gerak solo, Tony Pua beritahu PH

Bekas Ahli Parlimen Damansara itu berkata gabungan PH-BN kini dilihat 'janggal' dengan pakatan itu mesti ditamatkan pada masanya.

tony pua
Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, berkata lebih baik kalah pada PRU akan datang secara ‘bermaruah dan penuh kehormatan’ daripada menanggung risiko dikhianati Umno.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menyeru satu tempoh masa ditetapkan untuk membubarkan kerajaan perpaduan kerana mendakwa pentadbiran semasa ‘sama sekali tidak dapat dipertahankan’.

Beliau berkata demikian selepas pengumuman Barisan Nasional (BN) Johor semalam yang akan bertanding solo di semua 56 DUN pada PRN.

Pua berkata, Umno telah ‘memaparkan belang sebenar’ apabila mengumumkan perkara itu.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) sudah melakukan kompromi besar demi memastikan kestabilan politik di bawah kerangka kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan, yang menurutnya memberi manfaat kepada Malaysia.

“Namun, aturan janggal ini mesti ditamatkan pada masanya,” katanya dalam catatan di Facebook.

“Tiada sebab untuk mempercayai pemimpin Umno yang mendakwa bahawa keputusan BN Johor tidak menjejaskan hubungan (PH-BN) di peringkat persekutuan.”

Pua mengakui bahawa PH mungkin berdepan kesukaran pada pilihan raya sekiranya bertanding bersendirian, namun berkata adalah lebih baik untuk kalah ‘bermaruah dan penuh kehormatan’ daripada menanggung risiko dikhianati.

“Biar putih tulang, jangan putih di mata,” katanya.

Semalam, Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi, berkata keputusan bertanding di semua 56 kerusi diambil mengambil kira pandangan dan aspirasi rakyat Johor, serta maklum balas daripada pemimpin akar umbi Umno-BN.

Hari ini, PH Johor mengumumkan gabungan itu juga akan bertanding di semua kerusi DUN Johor, sebagai menyambut keputusan BN tersebut.

Sebelum itu, Timbalan Pengerusi Umno Johor, Ahmad Maslan, berkata Umno dan BN akan terus menyokong kerajaan perpaduan di pusat walaupun BN Johor merancang bergerak solo pada PRN akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.