
Jelasnya, beliau tidak berhasrat menyertai Umno, sebaliknya kehadirannya ke program Umno itu bagi memenuhi jemputan ketua bahagian, Md Alwi Che Ahmad, selain atas dasar penyatuan ummah.
“Saya dijemput ketua bahagian sebagai Ahli Parlimen, saya kekal ahli Bersatu yang digantung,” katanya kepada FMT.
“Kehadiran saya semalam langsung tak bercakap soal politik atau masa depan politik saya. Dakwaan mengatakan 10 Ahli Parlimen pembangkang bakal masuk Umno itu tiada kaitan dengan saya, saya kekal wakil rakyat pembangkang.”
Menurutnya, beliau sudah menjelaskan kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN) berhubung tindakannya menghadiri program Umno itu, yang turut dihadiri bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
“Saya pergi kampung saya sendiri. Saya jadi wakil rakyat, menang atas tiket PN menggunakan lambang PAS, saya kira semua rakyat di Ketereh pengundi dan rakyat saya, tak kira apa parti.
“Semua saya kena bantu dan santuni, saya tetap wakil rakyat yang menang bertanding mewakili PN menggunakan lambang PAS, itu jelas.”
Ditanya sama ada beliau akan merayu penggantungannya, Khlir berkata, beliau tidak akan membuat rayuan kerana menganggap kesalahan dilakukannya bukan perkara besar sehingga mampu merosakkan parti.
“Saya hanya pergi dengar Hamzah Zainudin beri ucapan di program ‘Reset’, bukannya saya menjahanamkan parti.
“Bersatu sepatutnya berjiwa besar menerima dan meramaikan ahli, bukannya memecat ahli untuk kurangkan orang dalam parti.”
Selain Khlir, empat lagi Ahli Parlimen turut digantung keahlian selama dua penggal oleh Bersatu pada 8 Mei lalu, iaitu Ikhmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Khalib Abdullah (Rompin) dan Nordin Ahmad Ismail (Lumut).