Konvensyen PH tampilkan visi masa depan Malaysia

Konvensyen PH tampilkan visi masa depan Malaysia

Pemimpin PH dan delagasi berhimpun di Johor Bahru esok ketika gabungan itu usaha kukuhkan sokongan dan garis hala tuju menjelang PRU16.

penyokong pakatan harapan
Pengerusi PH Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucaptama pada konvensyen sehari itu esok yang bertemakan ‘Tekad Madani, Harapan Rakyat’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Konvensyen Pakatan Harapan (PH) esok dijangka menjadi platform untuk gabungan itu membentangkan ‘kad laporan prestasi’ kerajaan Madani sambil menggariskan visi negara dan strategi mengharungi PRU akan datang.

Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, dijadual menyampaikan ucaptama pada konvensyen sehari itu yang bertemakan ‘Tekad Madani, Harapan Rakyat’ di Persada Johor International Convention Centre di Johor Bahru.

Pemimpin kanan daripada PKR, DAP dan Amanah juga dijangka berucap ketika PH berusaha mengukuhkan sokongan di tengah-tengah spekulasi yang semakin meningkat mengenai bilakah PRU16 akan diadakan.

Naib Pengerusi DAP, Syahredzan Johan berkata konvensyen itu merupakan peluang penting untuk PH menilai hampir empat tahun pentadbiran kerajaan perpaduan Madani sambil merangka hala tuju dan visi Malaysia untuk tahun-tahun mendatang.

“Tanpa mengira pelbagai konfigurasi dan kemungkinan yang mungkin terbentuk selepas PRU16, kami mahu memastikan PH kekal sebagai teras kerajaan persekutuan.

“Kami mahu memastikan kami menjadi sebahagian daripada masa depan Malaysia,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Bangi itu berkata pemimpin parti komponen, termasuk Anwar, dijadual menyampaikan ucapan pada konvensyen tersebut, yang kali pertama dianjurkan PH dalam tempoh empat tahun.

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh menyifatkan konvensyen itu sebagai perhimpunan untuk ‘menyemarakkan semula harapan’ dalam kalangan ahli dan penyokong gabungan tersebut.

“Kami mengutamakan rakyat selepas berjaya mengatasi kebuntuan politik pasca PRU 2022 dan bekerja keras mempertahankan kepentingan negara dalam apa jua keadaan.

“Walaupun berdepan cabaran ekonomi, tekanan tarif global dan ketegangan geopolitik seperti perang Iran, kerajaan Madani kekal fokus terhadap kestabilan dan melindungi kepentingan rakyat.”

Fuziah turut mengkritik pembangkang dengan mendakwa blok itu hanya berpolitik tanpa menawarkan penyelesaian konkrit terhadap isu semasa.

“Sebaliknya, PH kekal komited mentadbir secara bertanggungjawab dan mempersiapkan negara untuk masa depan,” katanya.

Kerjasama PH dan Umno-BN jadi tumpuan

Penganalisis politik Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata antara isu utama pada konvensyen itu ialah sama ada PH akan bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada PRU16.

Beliau berkata perkara itu menjadi persoalan besar bagi penyokong PH dan Umno yang mahu mengetahui bentuk pakatan pilihan raya yang akan dimeterai kedua-dua gabungan.

“Itu perkara paling penting yang perlu dibincangkan dalam konvensyen ini,” kata Azmi.

PH kali terakhir mengadakan konvensyen pada 2022 sebelum gabungan itu kembali berkuasa selepas PRU 2022 yang menyaksikan Parlimen tergantung.

Anwar kemudian membentuk kerajaan perpaduan dengan sokongan BN, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan beberapa pihak lain.

Walaupun PRU16 hanya perlu diadakan selewat-lewatnya Februari 2028, spekulasi terus timbul bahawa Anwar mungkin memanggil pilihan raya mengejut, yang berpotensi diadakan serentak dengan PRN Melaka dan Johor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.