
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, walaupun cadangan bekas presiden MCA Chua Soi Lek bertujuan mewujudkan semak dan imbang, realitinya pengundi strategik boleh menyebabkan perpecahan undi yang merugikan blok kerajaan.
“Jika undi Cina terpecah kepada DAP dan MCA, ada kemungkinan DAP pun kalah, MCA pun kalah. Maknanya kemungkinan masyarakat Cina akan hilang kawasan tersebut.
“Parti alternatif seperti PN pula mungkin menang di situ,” katanya kepada FMT.

Mazlan berkata, risiko itu perlu dipertimbangkan pengundi Cina terutama ketika sokongan Melayu di banyak kawasan dilihat lebih cenderung kepada PN.
Dalam audio siar Keluar Sekejap 12 Mei lalu, Chua dilaporkan menggesa masyarakat Cina menjadi ‘pengundi strategik’ pada pilihan raya akan datang bagi mengelakkan dominasi mutlak DAP yang boleh membawa kepada sikap ‘besar kepala’ sesetengah pemimpin.
Beliau berkata, pengundi mungkin boleh mengekalkan sokongan kepada DAP di kawasan majoriti tegar atau lebih 70% pengundi Cina, namun beralih kepada Barisan Nasional (BN) di kawasan campuran.
Sementara itu, pakar sains politik Wong Chin Huat dari Sunway University berkata prestasi MCA sejak dahulu banyak dipengaruhi pandangan pengundi terhadap Umno.

“MCA boleh bertungkus-lumus memenangi hati pengundi Cina, tetapi kejayaannya bergantung kepada pendirian Umno,” katanya.
Katanya, keadaan menjadi lebih sukar apabila serangan pemimpin Umno terhadap DAP terutama membabitkan isu sensitif dilihat oleh sebahagian pengundi Cina sebagai serangan kepada komuniti minoriti.
Wong berkata, ironinya serangan terhadap DAP boleh menguatkan lagi kedudukan parti itu dalam kalangan pengundi Cina kerana DAP dilihat sebagai parti paling mewakili komuniti berkenaan.
“Jika tanpa serangan daripada Umno dan PN, kelemahan DAP lebih ternampak dan ini sebaliknya lebih menguntungkan MCA.
“Tetapi, kalau tak serang DAP, apa isu yang boleh dimainkan oleh pemimpin Umno barisan kedua seperti Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh? Bolehkan MCA memujuk Akmal menukar sasaran? Nampaknya susah,” katanya.