
Bekas perdana menteri itu mendakwa keputusan ‘mengiktiraf’ UEC itu dibuat secara tergesa-gesa dan bermotifkan politik.
“Ia mungkin mempunyai tujuan politik untuk memastikan sokongan berterusan parti DAP terhadap kerajaan campuran yang ada pada hari ini.
“Saya ingin mengingatkan keputusan dasar yang penting tidak boleh dibuat atas pertimbangan politik semata-mata,” katanya dalam kenyataan sambil meminta kajian menyeluruh dibuat.
“Ini termasuk implikasi terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perpaduan nasional dan identiti Malaysia sebagai sebuah negara-bangsa.”
Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta sekolah menengah persendirian Cina (SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
KPT memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Bagi calon aliran terbabit yang turut memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh, mereka boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Untuk calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah diploma dan sarjana muda dakwah, diploma dan sarjana muda al-Quran dan as-sunnah, sarjana muda pendidikan tahfiz serta sarjana muda pengajian Islam (dakwah).
Bagi calon lepasan SMPC/UEC pula, antara program dikenal pasti ialah sarjana muda sastera pengajian bahasa Cina dengan kepujian, sarjana muda bahasa dan linguistik Cina, sarjana muda sastera pengajian Cina dan sarjana muda bahasa Cina dengan pendidikan.
Pada sidang media petang tadi, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Azlinda Azman menegaskan tiada pengiktirafan diberikan ke atas UEC di sebalik langkah kerajaan memperkenalkan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Muhyiddin yang juga bekas menteri pendidikan turut menggesa dasar itu dikaji semula bagi mengelakkan dwi-standard dalam kemasukan ke IPTA.
Menurutnya, setakat ini tiada badan kerajaan membuat penilaian jaminan kualiti, pengauditan sukatan mata pelajaran, proses pengajaran dan pembelajaran, peperiksaan serta pemarkahan UEC.
“Keadaan ini akan mewujudkan dwi-standard dalam penilaian permohonan kemasukan pelajar warganegara Malaysia ke IPTA yang melibatkan dua saluran kemasukan yang berbeza dengan standard yang berbeza,” katanya.
Muhyiddin berkata sewaktu menjadi menteri pendidikan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), beliau pernah mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) untuk membincangkan cadangan pengiktirafan sijil UEC.
Menurutnya, kajian oleh Kementerian Pendidikan pada masa itu mendapati sukatan mata pelajaran dan peperiksaan UEC tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Justeru, saya mencadangkan kepada Dong Zong supaya Kementerian Pendidikan menjalankan kajian menyeluruh terhadap sistem pendidikan persendirian Cina termasuk sukatan matapelajaran dan pentadbiran peperiksaan UEC sebelum kerajaan menimbangkan pengiktirafan sijil UEC.
“Namun, cadangan saya itu tidak dipersetujui oleh Dong Zong dan kerajaan membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf sijil UEC,” katanya.