Dong Zong pun tak setuju, ahli akademik gesa batal laluan UEC ke IPTA

Dong Zong pun tak setuju, ahli akademik gesa batal laluan UEC ke IPTA

Anuar Ahmad berkata kerajaan wajar kembali kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan jika pelbagai pihak menolak keputusan itu.

pelajar sekolah cina
Semalam, kerajaan umum beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan termasuk sekolah menengah persendirian cina ke IPTA.
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik menggesa kerajaan membatalkan keputusan membenarkan pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memohon kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), selepas isu itu terus mengundang bantahan.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Anuar Ahmad berkata bukan sahaja masyarakat umum menolak keputusan berkenaan, malah Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) turut tidak bersetuju dengan kaedah pelaksanaannya.

Anuar Ahmad.
Anuar Ahmad.

Tegasnya, sekiranya ramai tidak bersetuju termasuk Dong Zong, sebaiknya kerajaan kembali kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan yang tidak mengiktiraf UEC.

“Marilah balik ke pangkal jalan,” katanya di Facebook.

Kenyataan Anuar itu dibuat selepas Dong Zong mendakwa keputusan kerajaan berkait pemegang UEC masih bersifat ‘separuh hati’.

Pertubuhan itu kecewa kerana masih ada pelbagai syarat dan sekatan, sambil mendakwa dasar diumum Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) masih menunjukkan kelemahan sistem sedia ada.

Ini kerana pelajar UEC terus berdepan akses terhad ke universiti awam.

Menurut Dong Zong, pemegang UEC yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh dibenarkan memohon semua program melalui UPUOnline, manakala mereka yang hanya mengambil Bahasa Melayu dan Sejarah SPM dihadkan program tertentu berkaitan bahasa Cina.

Semalam, kerajaan dilaporkan bersetuju dengan beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

KPT memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri mempersetujui beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar daripada aliran sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) ke IPTA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.