
Perintah reman lima hari hingga 19 April terhadap suspek bergelar Datuk itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Sumber berkata, suspek berusia 60-an ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara 2023 hingga 2025 dan ketika itu menjawat jawatan sebagai pengarah IPTA terbabit.
“Suspek dipercayai mempunyai kepentingan di dalam sebuah syarikat yang terlibat secara langsung dengan pusat pendidikan terbabit dan menggunakan wang tersebut untuk kepentingan peribadi,” katanya.
Menurutnya, susulan siasatan SPRM membekukan empat akaun bank iaitu satu akaun syarikat dan tiga akaun individu berjumlah keseluruhan kira-kira RM600,000.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Yuhafiz Mohd Salleh, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Katanya, siasatan menjurus kepada jenayah dan tatakelola.