Keputusan benar lepasan UEC ke IPTA diputus Kabinet, kata PM

Keputusan benar lepasan UEC ke IPTA diputus Kabinet, kata PM

Anwar Ibrahim berkata semua pelajar tanpa mengira aliran sekolah mesti memenuhi syarat asas lulus bahasa Melayu dan sejarah pada peringkat SPM.

ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata syarat ditetapkan bukan terpakai kepada UEC sahaja.
SEREMBAN:
Keputusan untuk membenarkan pelajar lepasan sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) atau Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) telah diputuskan Kabinet, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, semua pelajar tanpa mengira aliran sekolah, mesti memenuhi syarat asas iaitu lulus bahasa Melayu dan sejarah pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Keputusan Kabinet (SMPC/UEC) dengan syarat bahasa Melayu dan sejarah dalam SPM lulus. Jadi, kita bagi ruanglah, walaupun mungkin dengan beberapa kursus dulu, kerana dahulu hal ini tidak dipersetujui. Sekarang, bila sekolah Cina diterima, jadi kita pun terima baik.

“Ini bukannya terpakai kepada UEC. (sahaja, tetapi) sekolah Arab, menengah, tahfiz dan sebagainya, semua syarat sama, termasuk sekolah antarabangsa melibatkan pelajar Malaysia. Cuma ada beberapa perincian yang sedang kita bincangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Belia Negara 2026.

Semalam, kerajaan dilaporkan bersetuju dengan beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan daripada luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA di negara ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri mempersetujui beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar daripada aliran sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan SMPC ke IPTA.

Dalam perkembangan lain, perdana menteri berkata isu membabitkan kerakyatan pemain warisan perlu dibincangkan terlebih dahulu pada peringkat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri mengikut proses ditetapkan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.