
Bekas menteri kesihatan itu berkata, langkah itu bertujuan menilai sejauh mana kekuatan parti.
“PRU kini berbaki lebih setahun sahaja lagi. Gendang PRN di selatan kita akan dengar tidak lama lagi dan pembubaran DUN Johor bergantung kepada Pemangku Sultan Johor.
“Pada pandangan saya, kita uji kekuatan sebenar BN dan Umno dengan bertanding secara solo di PRN Johor. Kita lihat sejauh mana kekuatan parti, manakala soal PRU adalah soal lain dan perlu dibincangkan kemudian,” katanya menurut Harian Metro, di Kota Bharu.
Beliau menjelaskan Johor bukan dibentuk sebagai kerajaan perpaduan, sebaliknya BN mahu mempertahankan kerajaan sedia ada.
Khairy turut menekankan Umno perlu berbuat baik dengan semua parti walaupun berlawan pada pilihan raya.
“Cari kawan, jangan cari musuh. Kelebihan Umno adalah kita mampu bercakap dengan semua,” katanya.
Pada PRN Johor lalu, BN membentuk kerajaan negeri apabila menang 40 daripada 56 DUN.
Pakatan Harapan (PH) pula menang 12 kerusi dengan 10 dimenangi DAP, selain PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) menang tiga, manakala Muda satu.