
Bastian Pius Vendargon berkata, demokrasi berparlimen bergantung kepada kehendak rakyat yang diwakili dalam badan perundangan.
“Pengundi sepatutnya mempunyai hak menentukan siapa mewakili mereka dalam DUN,” katanya kepada FMT.
Vendargon mengulas demikian selepas Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming mendakwa tindakan kerajaan Johor membenarkan Adun lantikan adalah bertentangan Perlembagaan Persekutuan.
Nga berkata, ia juga tidak mencerminkan amalan demokrasi matang atau budaya politik kerana membolehkan ahli politik menjadi Adun melalui ‘pintu belakang’.
“Adun lantikan ini tidak dipilih rakyat, mereka tiada kawasan berkhidmat namun menerima gaji seperti Adun, mempunyai kuasa untuk mengundi, untuk berbahas, dan membangkitkan isu dalam DUN Johor,” kata Nga yang juga menteri persekutuan.
Walaupun mendapat bantahan Pakatan Harapan, DUN Johor telah meluluskan RUU tersebut pada 7 Mei, yang membolehkan pelantikan lima Adun tanpa melalui pilihan raya, justeru meningkatkan jumlah keseluruhan wakil rakyat negeri kepada 61.
Johor merupakan negeri keempat mempunyai Adun lantikan, selepas Sabah, Terengganu, dan Pahang.
Vendargon berkata, pengundi Johor mungkin mempunyai kedudukan undang-undang secukupnya untuk memulakan tindakan mencabar undang-undang negeri berkenaan.
“Adalah baik untuk mendapatkan pandangan kehakiman daripada mahkamah kita mengenai keperlembagaan tindakan itu serta pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.
“…memandangkan prinsip undang-undang asas kita bahawa demokrasi adalah ciri fundamental Perlembagaan, dan hak mengundi rakyat menjadi ciri utama memastikan pemerintahan dijalankan oleh pihak dipilih rakyat,” katanya.
Vendargon berkata, meskipun amalan sedemikian wujud di beberapa negeri atau wilayah, keabsahan dari sudut Perlembagaan belum dicabar sepenuhnya.
“Walaupun keputusan mengenai keperlembagaan akan menetapkan duluan, sesuatu perisytiharan mungkin bersifat khusus kepada isu di Johor sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, peguam Fahri Azzat, berkata pindaan terbabit mempunyai implikasi tadbir urus dan kewangan yang serius.
Katanya, sebarang cabaran undang-undang tidak akan menjejaskan kedudukan di negeri-negeri lain, mengambil kira setiap negeri mempunyai Undangmasing-masing Tubuh Kerajaan masing-masing.
Beliau berkata, penjelasan perlu diberikan mengenai siapa yang layak dilantik ke DUN, siapa yang bakal dilantik, dan mengapa struktur sedia ada dianggap tidak mencukupi.
Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi, yang membentangkan RUU berkenaan, berkata Adun dilantik tidak dipilih melalui pilihan raya, sebaliknya dipilih melengkapkan komposisi sedia ada dalam DUN.
“Kelihatan, pindaan itu juga membolehkan kawalan eksekutif yang lebih besar terhadap badan perundangan negeri, yang mana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” kata Fahri.